Mana perlindungan Perkeso untuk suri rumah, soal Kula

Mana perlindungan Perkeso untuk suri rumah, soal Kula

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran berkata skim terbabit yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah, sepatutnya dilaksana tahun lalu.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata Menteri Sumber Manusia M Saravanan telah berjanji tahun lalu bahawa skim itu akan dilaksanakan pada Januari.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Manusia diminta menjelaskan mengenai apa yang berlaku terhadap Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti yang dijanjikan tahun lalu.

Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran berkata, skim terbabit yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah, sepatutnya dilaksanakan tahun lalu seperti yang dijanjikan kerajaan sedia ada.

“Menteri Sumber Manusia M Saravanan telah berjanji untuk memperkenalkan skim itu pada Januari tahun ini tetapi tidak ada apa yang dilakukan setakat ini,” kata Kula Segaran dalam satu kenyataan.

Tambahnya, skim itu, boleh menjadi hadiah terbaik kerajaan kepada semua ibu di negara ini sempena sambutan Hari Ibu hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk meneliti perkara itu segera, dengan alasan bahawa “kita tidak boleh mengecewakan isteri-isteri serta ibu-ibu kita”.

“Ketika pentadbiran PH, draf undang-undang telah disiapkan dan ia akan meliputi berjuta suri rumah.

“Saya boleh katakan dengan selamat bahawa jika PH masih berkuasa, perlindungan dan faedah ini akan sampai kepada mereka semua.”

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan skim SKSSR yang bertujuan menyediakan jaringan keselamatan sosial kepada suri rumah dan bapa yang tidak dapat keluar bekerja dengan menawarkan perlindungan hilang upaya, keilatan, pencen mangsa, dan elaun kehadiran tetap.

Kemudahan untuk pemulihan fizikal atau vokasional dan faedah pengebumian juga dijanjikan di bawah cadangan SKSSR. Skim itu, jika dilaksanakan, akan merangkumi tiga juta orang di negara ini.

Di bawah pelan itu, mereka yang mendaftar perlu mencarum RM10 sebulan, yang boleh dibuat terlebih dahulu untuk tempoh dua belas bulan.

Saravanan kemudian berkata bahawa skim itu akan dilaksanakan Januari ini.

“Ibu adalah anugerah terhebat. Mereka tidak mengenal batas kasih sayang mereka kepada kami dan tahu melakukan yang terbaik dan berkorban yang terbaik untuk anak-anak mereka,” kata Kula.

“Jika pelaksanaannya diumumkan sempena Hari Ibu yang disambut hari ini, ia adalah pengiktirafan terbaik terhadap sumbangan mereka kepada negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.