Kenaikan harga baja ‘bunuh’ petani, kata bekas menteri

Kenaikan harga baja ‘bunuh’ petani, kata bekas menteri

Ahli Parlimen Pulai itu berkata perang Rusia-Ukraine yang berterusan mencetuskan kenaikan harga baja di peringkat global.

Salahuddin Ayub mencadangkan kerajaan memberi subsidi tunai sebanyak RM100 setiap tan hasil pertanian kepada petani. (Gambae Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memberi subsidi baja kepada petani yang kini terpaksa bergelut berdepan kenaikan harga yang menyebabkan peningkatan kos pengeluaran pertanian.

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani, Salahuddin Ayub, berkata ini perlu memadangkan perang Rusia-Ukraine yang berterusan telah mencetuskan kenaikan harga baja di peringkat global.

Ukraine adalah antara pengeksport baja utama dunia.

“Kerajaan sepatutnya memberi subsidi tunai sebanyak RM100 setiap tan hasil pertanian kepada petani.

“Ini boleh membantu mengurangkan kesan kenaikan besar terhadap kos baja yang kini meningkat daripada RM120 kepada sekitar RM200,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kenaikan ini dipercayai turut dipengaruhi isu pencerobohan dan ketidaktenteraman yang berlaku antara Rusia dan Ukraine, sejak 24 Feb lalu.

Jelasnya, Ukraine antara pengeluar terbesar bagi sumber pengeluaran berasaskan baja dan tanaman sehingga dikenali sebagai ‘the bread basket of Europe’, kerana menjadi antara pembekal utama bijirin, oat, barli, jagung, dan gandum.

Ahli Parlimen Pulai itu menambah, ia perlu mengambil kira krisis perubahan iklim serta ketidaktentuan cuaca, risiko cuaca yang buruk akan menjejaskan tanaman serta menghapuskan sumber pengeluaran.

“Krisis ketidakseimbangan ini seharusnya dijadikan sebagai satu peluang untuk melihat semula kelompongan dan jurang sedia ada bagi memperbaharui rantaian nilai agro bagi melindungi dan menjamin kedaulatan makanan negara.

“Justeru, kerajaan perlu menyatakan solusi yang lebih baik bagi menangani tiga permasalahan utama iaitu kenaikan harga baja serta kos operasi, nasib golongan petani dan pengeluar tempatan dan ketidakstabilan jaminan bekalan makanan untuk masa hadapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.