‘Hak individu tukar parti, tak perlu laksana RUU Anti Lompat Parti’, kata bekas menteri

‘Hak individu tukar parti, tak perlu laksana RUU Anti Lompat Parti’, kata bekas menteri

Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi antara wakil rakyat melompat daripada Warisan ke Bersatu.

Mohamaddin adalah salah seorang ahli Parlimen yang menukar parti daripada Warisan dan kini menyertai Bersatu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti tidak wajar dilaksanakan dan tidak munasabah untuk dibahaskan.

Beliau yang juga bekas menteri pelancongan, seni dan budaya, berkata setiap individu mempunyai hak kebebasan bersuara dan memilih seperti di negara maju.

“Wakil rakyat ini berhijrah ke lain parti untuk memperkembang dan menyelesaikan masalah rakyat, tapi kalau pemimpin macam kita ini melompat demi rakyat…kalau di negara lain ini bercakap tentang hak kebebasan dan sebagainya, kita di Malaysia ini pun bercakap pasal hak kebebasan dan sebagainya.

“Orang berhijrah demi kepentingan rakyat dan negara tetapi dihalang dan dibentangkan (RUU Anti Lompat),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan, di Lahad Datu, hari ini.

Mohamaddin merupakan antara wakil rakyat daripada Warisan yang telah menukar haluan ke parti lain, tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama kini menyertai Bersatu.

Sementara itu, Mohammadin berkata, beliau bersetuju sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada bila-bila.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada perdana menteri untuk membuat keputusan mengenainya.

Beliau turut menyatakan bersedia untuk bertanding pada PRU nanti, sekiranya ada permintaan, selain keadaan kesihatannya mengizinkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.