
“Keluarga terbabit diminta membayar antara RM50,000 hingga RM100,000 setiap seorang untuk pembebasan ahli keluarga mereka,” katanya dalam sidang media hari ini.
Chong berkata, masing-masing satu tuntutan tebusan juga diterima dari Kemboja dan Thailand.
Katanya, keluarga terbabit sudah meminta nasihatnya berhubung cara membayar tebusan itu, tetapi beliau sebaliknya meminta mereka membuat laporan polis.
“Perkara sebegini mesti dikendalikan oleh polis. Sering keluarga membuat bayaran, tetapi orang tersayang mereka tidak pulang.
“Saya tidak boleh menasihati mereka membayar apabila tiada jaminan.
“Saya menasihati mereka yang telah diperdagangkan di Myanmar, Kemboja dan Thailand pergi ke balai polis terdekat atau perniagaan milik rakyat Malaysia untuk meminta bantuan.”
Beliau berkata, bironya merekodkan lebih 40 mangsa pemerdagangan manusia, manakala Pemuda MCA menerima 30 lagi kes.
“Setakat ini, kami hanya mampu menyelamatkan kira-kira 10 mangsa dari Kemboja dengan bantuan pihak berkuasa dan kedutaan Malaysia di Phnom Penh.”
Katanya, Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim sudah meminta timbalan perdana menteri negara itu membantu pembebasan mangsa yang masih terperangkap dalam kem pemerdagangan manusia.
“Kami berharap mereka akan dibebaskan tidak lama lagi.”
Awal bulan lalu, sebuah keluarga dilaporkan membayar RM10,000 kepada sebuah sindiket jenayah di Myanmar untuk membebaskan seorang rakyat Malaysia berusia 15 tahun dan seorang lagi remaja bersamanya.
Pembebasan itu diatur dengan bantuan ahli perniagaan Malaysia di Thailand.
Sindiket jenayah terbabit dipercayai merekrut belia dari Malaysia dengan menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan dan tiket penerbangan percuma.