
Beliau berkata, perbincangan yang masih berjalan di peringkat kerajaan adalah bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL yang setara berbanding kadar tambang dikenakan oleh perkhidmatan ETS KTMB di pantai barat Semenanjung.
“Seperti yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di pantai barat Semenanjung.
Tonton video di sini.
“Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat,” katanya dalam kenyataan.
Wee berkata, kadar tambang ditetapkan nanti akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan yang tidak membebankan pengguna.
“Kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ini adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.
“Malah menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri-industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70% daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia beroperasi pada tahun 2027 kelak,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang ECRL yang dijangka siap pada penghujung 2026.
Azan berkata, tambang ECRL dijangka mahal susulan kos pembinaannya yang tinggi, justeru kerajaan harus membentangkan pelan cadangan untuk memastikan tambang yang mahal dan bebanan kewangan ditangani.
Projek ECRL sepanjang 665km melibatkan 59 terowong dianggarkan bernilai RM50.27 bilion merangkumi kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.