Perjelas kenapa tuduhan terhadap Serba Dinamik digugur, Majlis Peguam beritahu peguam negara

Perjelas kenapa tuduhan terhadap Serba Dinamik digugur, Majlis Peguam beritahu peguam negara

Naib Presiden Majlis Peguam Ezri Abdul Wahab berkata tindakan menarik semula pertuduhan memberi isyarat buruk terhadap kawal selia pasaran modal.

Bulan lalu peguam negara menarik semula pertuduhan terhadap Serba Dinamik dan beberapa eksekutif kanannya.
PETALING JAYA:
Peguam negara perlu memberikan penjelasan mengapa tidak meneruskan kes membabitkan sebuah syarikat minyak dan gas ke mahkamah kerana menghantar penyata palsu kepada Bursa Malaysia.

Naib Presiden Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab, berkata keputusan tidak meneruskan pertuduhan terhadap syarikat senaraian awam, Serba Dinamik, termasuk beberapa eksekutif kanannya, memberi isyarat buruk terhadap kawal selia pasaran modal.

Pada Disember lalu, syarikat itu dan empat pegawainya dituduh mengikut undang-undang pasaran modal, bagaimanapun kes dikenakan ditarik balik peguam negara, bulan lalu. Syarikat dan pegawai berkenaan dikenakan denda masing-masing RM3 juta oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Dalam kenyataan Ezri berkata, tindakan menarik semula kes berkenaan memberi gambaran wujudnya kelonggaran dan pendakwaan terpilih.

Beliau berkata, Pejabat Peguam Negara sepatutnya mengelak daripada membuat keputusan mengatasi syor dibuat pengawal selia, iaitu SC.

“Ada keperluan bagi Pejabat Peguam Negara mengemukakan perincian bagaimana keputusan berkenaan dicapai, terutama ia menjadi kes kepentingan awam.”

Sebelum ini, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, turut mempersoalkan keputusan menarik semula pendakwaan terhadap Serba Dinamik.

Minggu lalu, dilaporkan pemiutang memfailkan petisyen penggulungan terhadap Serba Dinamik dan anak syarikatnya. Pemiutang itu termasuk bank yang memberi pinjaman berjumlah RM1.2 bilion.

Serba Dinamik dan empat eksekutif kanannya dituduh pada Dis 2021 kerana menghantar penyata palsu berhubung rekod pendapatan tertinggi syarikat membabitkan RM6.01 bilion, bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Dis 2020.

Pejabat Peguam Negara menarik balik tuduhan terhadap Serba Dinamik, susulan surat representasi daripada syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.