P Pinang panggil doktor pelatih, junior bincang isu tempat kerja

P Pinang panggil doktor pelatih, junior bincang isu tempat kerja

Exco Pulau Pinang Norlela Ariffin mahu mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi golongan terbabit.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di Hospital Pulau Pinang dilaporkan maut terjatuh selepas mayatnya ditemui di pekarangan sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat, George Town. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat khas bersama doktor pelatih dan doktor junior di negeri itu bagi membincangkan isu di tempat kerja yang dihadapi mereka ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Norlela Ariffin berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas majlis mesyuarat jawatankuasa kesihatan kerajaan negeri diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, majlis mesyuarat jawatankuasa itu diadakan bagi membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior, sekali gus mencari penyelesaian kepada masalah dihadapi mereka.

“Saya juga telah memaklumkan isu ini kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan kepada mereka yang terlibat dengan Kementerian Kesihatan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di Hospital Pulau Pinang dilaporkan maut terjatuh selepas mayatnya ditemui di pekarangan sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat, George Town.

Ketua Polis Timur Laut, Soffian Santong yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes disiasat sebagai mati mengejut.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai ribuan kakitangan yang ikhlas dan bekerja keras untuk menyelamatkan ribuan nyawa.

“Saya telah menerima begitu banyak pandangan tentang isu dihadapi oleh doktor pelatih dan doktor junior serta cadangan tentang cara untuk merombak sistem sedia ada.

“Saya berharap Kementerian Kesihatan akan mengubah budaya menyimpan segala-galanya secara rahsia kerana ia amat mengecewakan kerana sukar untuk menembusi tembok ini bagi mendapatkan kebenaran dan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.