
Mahathir berkata, semasa beliau memberi kenyataan kepada peguam negara ketika ini berhubung saman itu, Idrus Harun memberitahunya bahawa penamatan perkhidmatan Apandi adalah mengikut prosedur.
“Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat yang betul kepada Yang di-Pertuan Agong supaya perkhidmatan Apandi ditamatkan.
Tonton video di sini.
“Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian di luar mahkamah dibuat antara kerajaan dan Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan. Saya tidak pun dimaklumkan tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama,” kata bekas perdana menteri itu dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau kemudian menulis surat kepada Idrus untuk menyatakan bahawa dirinya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa Putrajaya tidak sepatutnya tunduk kepada Apandi memandangkan penamatan khidmat bekas peguam negara itu mengikut semua prosedur yang ada.
Mahathir turut mengkritik terma penyelesaian yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan bayaran pampasan.
“Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip ‘Rule of Law’?.
“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali pada waktu mana sekalipun. Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” tegasnya.
Penyelesaian Apandi dengan kerajaan direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir pada 13 April.
Peguamnya, Baljit Singh Sidhu berkata, kerajaan bersetuju menyelesaikan saman itu tanpa pengakuan liabiliti namun tidak boleh mendedahkan syarat penyelesaian itu.
Apandi memfailkan saman pada September 2020 bagi memohon pengisytiharan bahawa penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara pada 2018 oleh Mahathir adalah menyalahi undang-undang.
Beliau meminta RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, punitif dan am untuk dinilai oleh mahkamah.
Apandi dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015 dengan kontrak yang sepatutnya tamat pada 26 Julai 2018.