KKM tubuh ‘task force’ siasat kematian doktor pelatih, kata KJ

KKM tubuh ‘task force’ siasat kematian doktor pelatih, kata KJ

Jawatankuasa khas itu juga akan meneliti dakwaan budaya buli yang berlaku antara doktor senior dan doktor pelatih di hospital awam.

Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini pihaknya telah menerima laporan awal mengenai kes kematian seorang doktor pelatih daripada ketua jabatannya di Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jawatankuasa khas itu juga akan meneliti dakwaan budaya buli yang berlaku antara doktor senior dan doktor pelatih di hospital awam.

“@KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah ‘task force’ bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya buli yang didakwa berlaku,” katanya di Twitter.

Tonton video di sini.

Khairy berkata, setakat ini pihaknya telah menerima laporan awal mengenai kes kematian doktor pelatih berkenaan daripada ketua jabatannya di Pulau Pinang.

“Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan,” katanya.

Semalam, FMT melaporkan beberapa individu yang pernah dan masih menjadi doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang mendakwa ia adalah pengalaman perit dan merupakan “hospital paling teruk” untuk doktor pelatih di negara ini.

Hampir semua mendakwa mereka terlebih bekerja, didera dan dibuli – hatta oleh jururawat.

Bekas doktor pelatih A berkata, Hospital Pulau Pinang terkenal dengan budaya buli dan biasanya “digeruni” oleh ramai doktor pelatih.

Justeru, pelbagai pihak termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa inkuiri khas susulan kematian doktor pelatih berkenaan dan dakwaan buli yang didakwa berleluasa.

Beliau berkata, inkuiri itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengelakkan insiden sama berulang terutama melibatkan doktor pelatih.

Media sebelum ini melaporkan seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kediamannya di George Town pada 17 April lalu.

Sebelum ini dilaporkan seorang lagi doktor pelatih di hospital sama meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.