Beri maklumat lengkap ketika buat panggilan kecemasan, kata pengarah kesihatan Sabah

Beri maklumat lengkap ketika buat panggilan kecemasan, kata pengarah kesihatan Sabah

Dr Rose Nani Mudin berkata ia bagi memastikan responder hospital di Sabah dapat bertindak dengan kadar munasabah.

Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan dan penyampaian rawatan berada pada tahap terbaik terutama usaha menyelamatkan nyawa.
KOTA KINABALU:
Semua pemanggil dan orang awam perlu memberikan maklumat lengkap semasa membuat panggilan kecemasan agar pihak responder hospital di Sabah dapat bertindak dengan kadar munasabah.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Rose Nani Mudin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan perkhidmatan dan penyampaian rawatan berada pada tahap terbaik terutamanya usaha untuk menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap isu kelewatan ambulans dibangkitkan di laman akhbar Daily Express semalam.

Katanya, pihaknya telah membuat siasatan dengan meneliti data masa sebenar di pangkalan data Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS 999).

“Hasil penelitian data berkenaan mendapati bahawa MERS 999 menerima panggilan telefon pada jam 12.06 tengah hari daripada seorang pemanggil, namun talian terputus semasa proses penyambungan daripada MERS 999 Regional Center (Regional Center) kepada Medical Emergency Call Center Hospital Queen Elizabeth (MECC) untuk proses verifikasi kes dan mendapat maklumat lanjut.

“Sebanyak enam cubaan panggilan semula kepada pemanggil dibuat oleh Regional Center dan MECC dari jam 12.07 tengah hari hingga 12.19 tengah hari tetapi pemanggil tidak dapat dihubungi semula menyebabkan ambulans tidak dapat diaktifkan disebabkan maklumat lokasi yang tidak jelas,” katanya dalam kenyataan.

Rose Nani berkata, MERS 999 kemudian menerima panggilan kedua daripada pemanggil lain dengan maklumat yang lengkap pda 1.01 tengah hari.

Katanya, pasukan responder dari Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) telah diaktifkan pada jam 1.04 tengah hari dan tiba di tempat kejadian pada jam 1.16 tengah hari.

Beliau berkata, semasa tiba di tempat kejadian, pasukan responder mendapati pesakit berusia 54 tahun terbabit tidak mempunyai tanda-tanda hidup dan pengesahan kematian kemudian dibuat oleh pegawai perubatan bertugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.