Warga emas maut, 8 cedera dalam nahas di Mersing

Warga emas maut, 8 cedera dalam nahas di Mersing

Mangsa, Yusof Deris, 66, maut di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas bertembung dengan sebuah kereta pada laluan bertentangan akibat gagal memotong. (Gambar Bomba)
JOHOR BAHRU:
Seorang pemandu warga emas maut, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 8 Jalan Nitar, Mersing, 8 malam tadi.

Ketua Polis Mersing Cyril Edward Nuing, berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Honda City, Yusof Deris, 66, yang dipercayai dalam perjalanan dari Felda Nitar 2 menuju ke Mersing, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta itu cuba memotong kenderaan di hadapan, namun gagal lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona, dan sebuah lagi kereta Proton Persona yang berada di laluan Honda City turut terlibat dalam kemalangan itu.

“Pemandu kereta Honda City disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kedua-dua Proton Persona yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing Yusof Mat Yar, dalam kenyataan berkata, pemandu Honda City itu didapati tersepit di tempat duduk pemandu Honda City, manakala seorang wanita di tempat duduk penumpang pula cedera.

Beliau berkata tujuh lagi yang cedera adalah pemandu dan penumpang dua kereta Proton Persona berkenaan.

Katanya, operasi ditamatkan, pada 9.22 malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.