Memandu secara berbahaya, 2 pemandu diburu polis

Memandu secara berbahaya, 2 pemandu diburu polis

Hasil siasatan mendapati kejadian seperti yang dilihat dalam video tular itu berlaku pada 1 Mei sekitar tengah hari, kata Ketua Polis Seremban Nanda Maarof.

Tangkap layar daripada video tular yang memaparkan kereta jenis Audi berwarna kelabu dan Toyota Wish berwarna hitam dipandu secara berbahaya.
PETALING JAYA:
Pemandu atau pemilik dua kenderaan dipandu secara berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan yang tular kelmarin kini diburu polis.

Ketua Polis Seremban Nanda Maarof berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 1 Mei sekitar tengah hari.

“Kedua-dua kenderaan tersebut dipandu secara berbahaya dengan aksi mengubah haluan secara tiba-tiba (zig-zag) di PLUS antara KM269 hingga KM238 arah selatan.

“Perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri dan pengguna lebuh raya yang lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, tular satu klip video berdurasi satu minit 40 saat memaparkan kereta jenis Audi berwarna kelabu dan Toyota Wish berwarna hitam dipandu secara berbahaya.

Rakaman itu juga menunjukkan pemandu berkenaan memotong di lorong kecemasan.

“Pemilik atau pemandu kenderaan terlibat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” kata Nanda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.