
Kumpulan 15 NGO itu bertanya kenapa mereka yang bertanggungjawab atas keselamatan dan kesihatan pekerja tidak didakwa apabila syarikat mereka melanggar akta dan mengakibatkan kematian atau kecederaan pekerja.
“Pendakwaan bagi kesalahan bawah akta ini memerlukan persetujuan pendakwa raya,” kata mereka.
“Timbul tanda tanya sama ada pendakwa raya atau menteri yang memutuskan untuk mendakwa hanya syarikat, bukan pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai lain, walaupun pekerja terkorban.”
Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pengarah, pengurus, setiausaha dan pegawai lain yang serupa boleh didakwa dalam prosiding undang-undang yang sama seperti syarikat mereka kerana melanggar akta tersebut.
Menurut kumpulan NGO itu, sebanyak 6,686 kemalangan di tempat kerja berlaku tahun lepas, mengakibatkan 174 pekerja terbunuh dan 249 hilang upaya.
Mereka berkata, satu syarikat berkaitan kerajaan baru-baru ini didapati bersalah kerana mengabaikan aspek keselamatan yang mengakibatkan kematian seorang pekerja, tetapi hanya diperintahkan membayar denda RM15,000 dan RM5,000 sebagai pampasan kepada waris.
“Apa yang membimbangkan adalah tiada pembuat keputusan atau pemilik syarikat-syarikat didakwa atas kesalahan ini.
“Setiap kali syarikat didakwa atas kesalahan sedemikian, individu yang bertanggungjawab juga mesti didakwa.”
Kumpulan itu berkata, denda maksimum semasa sebanyak RM50,000 kerana melanggar akta itu sepatutnya dinaikkan kepada RM500,000 bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, tetapi ini masih belum dikuatkuasakan.