Gaji minimum berasas jam lebih baik bagi majikan, pekerja, kata ahli ekonomi

Gaji minimum berasas jam lebih baik bagi majikan, pekerja, kata ahli ekonomi

Firdaos Rosli dari MARC Ratings Bhd berkata, ia membantu pekerja mencapai keseimbangan dalam kehidupan dan kerja lebih baik, manakala majikan boleh menjimatkan kos.

Ahli ekonomi, Firdaos Rosli berkata, negara maju seperti Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat menggunakan model gaji berdasarkan jam.
GEORGE TOWN:
Seorang ahli ekonomi mencadangkan Malaysia mengguna pakai kadar gaji minimum berdasarkan jam berbanding sistem bulanan kerana ia lebih baik untuk pekerja dan majikan.

Ketua ahli ekonomi MARC Ratings Bhd, Firdaos Rosli berkata, gaji minimum berdasarkan jam memberi kelonggaran kepada pekerja, khasnya yang berpendapatan rendah, untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Katakan seorang pekerja mendapat gaji minimum. Jika dia mahu meningkatkan produktivitinya dengan bekerja lebih masa sepanjang minggu, gajinya masih bermula pada RM1,500 kerana itu adalah jumlah yang ditetapkan.

“Dengan kadar upah berdasarkan jam, pekerja boleh bekerja lebih masa sepanjang minggu untuk meraih pendapatan tambahan. Pada asasnya, kadar setiap jam meningkatkan keupayaan pekerja untuk menjana pendapatan,” katanya ketika mengulas gaji minimum baharu yang berkuat kuasa kelmarin.

Firdaos Rosli.

Firdaos berkata, kadar gaji minimum berdasarkan jam juga dapat membantu pekerja mencapai keseimbangan kehidupan dan kerja lebih baik kerana mereka boleh bekerja kurang daripada 40 hingga 45 jam seminggu sambil mendapat gaji minimum.

Bagi majikan, katanya, model berdasarkan jam lebih menjimatkan kos kerana mereka boleh membayar pekerja kurang daripada RM1,500, tetapi masih mematuhi undang-undang.

Sistem gaji minimum berasaskan jam diamalkan di negara maju seperti Australia (AD14.54), New Zealand (NZD13.18) dan Amerika Syarikat (USD7.25).

Ahli ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, model gaji minimum berdasarkan jam mempunyai kebaikan dan keburukan.

Geoffrey Williams.

Katanya, model gaji minimum berdasarkan jam akan memberi fleksibiliti lebih baik buat majikan dan pekerja.

“Ini boleh membantu dari segi belanjawan syarikat untuk memastikan kos gaji terurus, dan mereka boleh melepaskan pekerja yang bekerja masa lebih pendek untuk bekerja dengan majikan lain.

“Bagaimanapun, ini bergantung kepada hubungan kerja fleksibel dan kontrak untuk dikuatkuasakan. Ia seperti ekonomi gig, di mana gaji minimum dijamin,” katanya kepada FMT.

Mengenai keburukan model gaji setiap jam, Williams berkata, ia boleh membawa kepada penindasan gaji.

“Kelemahan pendekatan fleksibiliti dan kadar setiap jam ini ialah waktu bekerja boleh dikurangkan, kadangkala sewenang-wenangnya.”

Katanya, gaji yang diambil akan berkurangan daripada kadar gaji minimum dan pekerja dalam keadaan waktu bekerja dan gaji tidak menentu setiap minggu, bahkan setiap hari.

“Ini bertentangan tujuan jaringan keselamatan sosial gaji minimum.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.