
Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed berkata, pembuli jalan berusia 43 tahun itu ditahan di perkarangan Bahagian Siasatan dan Perundangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 2 petang Ahad.
Katanya, lelaki tempatan itu kemudiannya dibawa menjalani ujian air kencing di Bahagian Narkotik IPD Gombak dan hasil ujian adalah negatif.
“Dia juga dibawa ke Hospital Selayang untuk diambil sampel darah bagi tujuan ujian alkohol,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.
Beliau berkata, lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk permohonan perintah reman.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Semalam, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dilaporkan berkata, sebuah Toyota Alphard berwarna putih dirakam dipandu secara berbahaya dengan memotong di lorong kecemasan dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya lain.
Katanya, JSPT mendapati kejadian itu berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (arah timur) pada 30 April lalu.