
Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook, berkata mangsa kebanyakannya terdiri anak muda dari Malaysia dipaksa bekerja di kawasan sempadan antara Thailand dan Myanmar untuk operasi perjudian dalam talian dan sindiket penipuan.
“Untuk mengelakkan lebih ramai pekerja daripada menjadi mangsa penjenayah ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), polis dan agensi penguatkuasaan lain perlu bertindak dan bekerjasama dengan Facebook dan Google untuk menghapuskan sindiket ini, serta mendakwa pesalah di mahkamah.
“Mereka juga perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran untuk menghentikan penjenayah dan membawa pekerja Malaysia pulang ke pangkuan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Buruh.
Pada 12 April, seramai 12 rakyat Malaysia yang dipercayai ditahan secara paksa oleh sindiket jenayah di Kemboja pulang ke tanah air.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, mangsa diperdaya menerusi iklan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dengan tawaran gaji lumayan dan segala kos perjalanan ditanggung syarikat di Kemboja.
Bagaimanapun setelah tiba di sana, dokumen perjalanan mereka dirampas, pergerakan dikawal dan mereka dikurung dengan kawalan ketat.
Siasatan awal polis mendapati mangsa dipaksa bekerja sebagai “scammer”.
Jalil turut berkata, pihaknya sedang berusaha membebaskan 45 lagi rakyat Malaysia dipercayai menjadi tawanan di negara Asia Tenggara termasuk Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.