Bayar 2/3 gaji di Singapura untuk kekal pekerja, kata pemimpin DAP

Bayar 2/3 gaji di Singapura untuk kekal pekerja, kata pemimpin DAP

Pekerja tentunya sanggup kembali ke tanah air jika dibayar sebegitu kerana ia akan membolehkan mereka meluangkan lebih masa dengan keluarga.

Nilai dolar Singapura yang kukuh berbanding ringgit menarik rakyat Johor untuk bekerja di republik itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perniagaan di Johor mesti membayar pekerja sekurang-kurangnya dua pertiga daripada gaji yang boleh diperoleh mereka di Singapura untuk memastikan rakyat Malaysia kekal di negara ini, kata ADUN DAP Liew Chin Tong.

Liew, yang juga ketua pembangkang negeri itu berkata, ini mesti menjadi sebahagian daripada rancangan jangka panjang oleh kerajaan negeri untuk menghalang rakyatnya memilih bekerja di republik itu disebabkan nilai dolar Singapura yang tinggi.

ADUN Perling itu berkata, gaji rendah di Johor dan tempat lain di Malaysia mendorong rakyat mahu bekerja di Singapura.

Tonton video di sini.

“Di Johor, pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik bermakna upah sekurang-kurangnya perlu berada pada tahap dua pertiga daripada gaji yang diterima oleh pekerja Malaysia di Singapura.

“Ini bermakna jika seseorang pekerja separuh mahir Malaysia di Singapura dibayar SGD2,000 sebulan, beliau tentunya sanggup kembali ke tanah air jika majikan Malaysia membayar gaji bulanannya antara RM3,000 dan RM4,000.

“Walaupun kurang sedikit daripada gaji di Singapura, pekerja Malaysia akan lebih selesa dan sejahtera apabila dapat bersama keluarga di rumah selepas kerja setiap hari,” katanya dalam catatan sempena Hari Buruh hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan bahawa perniagaan di Johor Bahru kehilangan pekerja kepada Singapura sejak pembukaan semula sempadan kerana rakyat Malaysia tertarik dengan dolar Singapura yang kukuh.

Liew berkata, untuk mencapai tahap gaji sebegitu bagi pekerjaan separa mahir, dasar perlu menjurus ke arah peningkatan teknologi, automasi dan IR 4.0.

“Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga buruh fizikal, terutamanya pekerja asing, dan akhirnya mampu membayar gaji yang lebih baik kepada setiap pekerja Malaysia.

“Saya faham bahawa perubahan besar struktur gaji ini dalam ekonomi Johor dan Malaysia tidak akan berlaku dengan sekelip mata.

“Ia mungkin mengambil masa antara lima dan 10 tahun untuk cita-cita ini menjadi kenyataan,” katanya.

Timbalan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu menggesa kerajaan baharu Johor merangka pelan hala tuju lima tahun bagi mewujudkan pekerjaan yang baik dengan gaji yang berpatutan, sambil menambah, pembangkang bersedia menyumbang idea bagi memastikan rancangan itu berjaya.

Katanya, semua pelaburan di negeri ini perlu dinilai berdasarkan sumbangannya untuk menjana pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik bagi rakyat Malaysia.

“Memang kita memerlukan pelaburan dalam apa bentuk sekalipun tetapi adalah lebih baik jika kita dapat membawa masuk pelaburan yang berkualiti tinggi,” katanya.

“Peluang-peluang pekerjaan berkualiti ini memang tepat untuk rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, kerana ramai antara mereka sudah pun mendapat latihan kemahiran tinggi, TVET atau ijazah pengajian tinggi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.