
Peningkatan aliran trafik hari ini sudah dijangka susulan pemberian tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia sempena sambutan Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik mulai perlahan dari arah selatan di Nilai Utara menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban manakala kesesakan hampir 3km berlaku di Senai Utara ke Kulai.
Tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat 9.30 pagi ini mendapati aliran trafik tinggi dan kesesakan berlaku sejauh 33km bermula dari Greenwood di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak.
Sementara itu, di utara, Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) melaporkan aliran trafik turut perlahan sebelum masuk Plaza Tol Rawang Selatan, dari Sungai Buloh ke arah Sungai Buaya selain dari Ipoh Selatan ke Ipoh Utara dan dari Terowong Menora menuju Sungai Perak.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800 88 0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1 800 88 7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.