
Beliau berusia 94 tahun.
Anak veteran Umno itu, Tengku Farith berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.
“Tetapi pagi ini (semalam) Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.
Tengku Farith berkata, jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta 8.30 pagi ini untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu.
Bagaimanapun, katanya lokasi pengebumian belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau Bukit Kiara.
Selain berkhidmat sebagai menteri pertahanan dari 1987 hingga 1990, beliau juga pernah dilantik sebagai menteri fungsi khas untuk membantu Abdul Razak Hussein di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi menteri maklumat dan fungsi khas (1974).
Beliau kemudian menyandang jawatan menteri hal ehwal luar negara (1975), menteri perdagangan dan industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai menteri luar negara (1984) dan menteri maklumat (1986).
Sebelum itu, beliau pernah menjadi timbalan menteri pertahanan pada 1970 dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.
Dalam arena politik, beliau merupakan bekas pengerusi Lembaga Disiplin Umno pada 2001 dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (1987).
Bekas pengerusi Umno Kelantan itu juga merupakan pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNMA).
Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai pro-canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.