PRU tidak bersih selagi akta pendanaan politik tak digubal

PRU tidak bersih selagi akta pendanaan politik tak digubal

Negara akan terus menyaksikan isu rasuah dan ‘jual beli’ wakil rakyat berlaku kerana SPR tiada akta khusus untuk bertindak, kata bekas timbalan pengerusi SPR.

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar berkata jika akta penting itu ada, proses pilihan raya akan lebih murni dan berma­ruah serta diyakini oleh rak­yat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selagi akta penda­naan politik tidak digubal dan di­kuatkuasakan, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan terus menjadi pilihan raya yang tidak bersih, kata bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata, negara akan terus menyaksikan isu rasuah dan ‘jual beli’ wakil rakyat berlaku kerana SPR tiada akta khusus untuk bertindak.

“Setiap kali PRU, SPR akan cuba memastikan PRU yang ber­langsung bersih, sama rata tetapi kerana ada perkara yang kurang terutama tiada akta yang khusus mengenai dana politik menyebabkan ia di luar kuasa SPR.

“Kalau ada akta penting ini, maka proses pilihan raya kita akan lebih murni dan berma­ruah serta diyakini oleh rak­yat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Kerajaan mempunyai tempoh selama tiga bulan sehing­ga Julai ini iaitu sebelum me­mo­ran­dum persefahaman de­ngan pembang­kang tamat untuk meng­­gubal, membentang, me­lulus dan menguatkuasakan ak­ta itu.

Ujarnya, di bawah Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin Yassin pula, kesinambungan janji politik kerajaan sebelum ini sepatutnya dite­ruskan namun kerajaan ketika itu sibuk dengan masalah Co­vid-19, masalah politik dan kerenah kerajaan pintu belakang.

“Perkara-perkara tersebut akhirnya menyebabkan PN tidak dapat bergerak banyak untuk melakukan reformasi pilihan raya walhal dokumen asal memang ada dan sudah siap,” jelas beliau.

Terdahulu, media melaporkan cadangan menggu­bal Akta Pendanaan Politik te­rus ‘terperap’ walaupun hasrat ter­sebut dibangkitkan sejak tahun 2015.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar di­la­por­kan berkata, kegagalan un­tuk me­realisasi akta tersebut sehingga kini berpunca daripada sikap ahli politik yang lebih memen­tingkan diri.

Tambahnya, dokumen akta pendanaan politik sudah dilengkapkan sejak 2015 oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Namun, usaha menggubal akta pendanaan politik tergendala selepas BN kalah pada PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.