Persetubuhan, amang seksual terhadap anak tiri, lelaki mengaku salah

Persetubuhan, amang seksual terhadap anak tiri, lelaki mengaku salah

Tertuduh berusia 35 tahun berhadapan enam pertuduhan didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2020 sehingga minggu lalu.

Isteri tertuduh yang berumur 40 tahun turut mengaku bersalah di hadapan Hakim Noorhayati kerana mengabaikan mangsa sama yang merupakan anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan emosi. (Gambar Reuters)
BUTTERWORTH:
Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya, antara Jan 2020 hingga minggu lalu.

Bagi tiga pertuduhan pertama di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus, tertuduh berusia 35 tahun didakwa melakukan persetubuhan terhadap kanak-kanak perempuan iaitu anak tirinya yang berumur 11 tahun 8 bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Perai Jaya 3, Bandar Perai Jaya, di sini, antara Jan 2020 hingga 23 Apr tahun ini, mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 30 Mei untuk sebutan semula, sementara menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).

Sementara itu, isteri tertuduh yang berumur 40 tahun turut mengaku bersalah di hadapan Hakim Noorhayati kerana mengabaikan mangsa sama yang merupakan anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan emosi.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam tempoh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah dan mahkamah menetapkan 31 Mei sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri mangsa.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.