
Ketua Operasi dan Penyelenggaraan Anih Berhad Ainul Hasri Shah Abu Hassan, berkata ia susulan pengumuman kerajaan yang memberikan tol percuma bermula selepas tengah malam ini untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.
“Hari ini, mungkin sebahagiannya sudah mula bercuti akan memulakan perjalanan balik kampung seawal jam malam lagi. Seperti semalam, keadaan lancar pada waktu pagi dan petang, tetapi kelihatan berlaku pertambahan jumlah kenderaan pada waktu malam.
“Kita juga menjangkakan peningkatan itu akan berlaku pada jam 12 tengah malam ini disebabkan ramai yang akan mengambil kesempatan menggunakan laluan tol percuma selepas waktu itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Pada 25 Apr, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan sebanyak 30 lebuh raya di seluruh negara menawarkan tol percuma dan diskaun sempena sambutan Aidilfitri, pada 3 Mei.
Sementara itu, peningkatan kenderaan sejak jam 2 petang tadi menyebabkan semua lebuh raya di sekitar ibu kota, mengalami kesesakan.
Situasi itu berpunca, pertambahan kenderaan menghala ke Pantai Timur, situasi berbeza berbanding pagi tadi.
Di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), trafik dikesan mulai perlahan sepanjang 15.1 kilometer (km) dari KM 22.1 hingga KM37.2 Gombak ke Genting Sempah, manakala sepanjang 4.6km dari KM54.4 hingga KM59.0 (Lentang-Bentong), sebelum TP Bentong hala ke Kuantan.
Di lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut berlaku peningkatan kenderaan. Walaupun berlaku beberapa kemalangan ia berjaya diselesaikan dengan segera.
Antara kemalangan yang dikesan melalui Twitter @plustrafik adalah di KM259.8 arah Selatan dari Kuala Kangsar ke terowong dan KM110.5 arah Utara dari Bertam ke Sungai Petani (S) serta.
Turut sesak adalah di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Hubungan Utara Selatan (ELITE) serta Lebuhraya Persekutuan juga mengalami kesesakan yang teruk.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 207,500 kenderaan akan melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, mulai hari ini, manakala LPT Fasa 1 pula meningkat kepada 100,000 kenderaan sehari yang dijangka berterusan hingga 8 Mei ini sempena sambutan Aidilfitri minggu hadapan.
Jangkaan itu adalah berdasarkan kepada jumlah kenderaan yang melalui Lebuhraya KL-Karak sepanjang bulan Ramadan yang mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 145,231 pada setiap hujung minggu, manakala LPT1 pula mencatatkan sebanyak 45,600 kenderaan.