
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Berhad; Kuok Brothers dan GXS Bank; YTL Digital Capital dan Sea Limited akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Manakala konsortium yang terdiri daripada AEON Financial Service, AEON Credit Service Berhad, MoneyLion Inc dan yang diketuai KAF Investment Bank akan diberikan lesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Ini menyusul penangguhan selama sebulan berhubung pengumuman BNM mengenai tawaran lesen bank digital. Julai tahun lalu, bank pusat itu berkata, ia akan mengumumkan keputusannya pada suku pertama 2022 selepas menerima 29 permohonan.
BNM berkata, lima konsortium itu akan melalui tempoh persediaan operasi yang diaudit bank pusat itu sebelum memulakan operasi yang akan mengambil masa antara satu hingga dua tahun.
“Tiga daripada lima konsortium ini dimiliki secara majoriti oleh warga Malaysia, iaitu Boost Holdings dan RHB; Sea Limited dan YTL; serta KAF Investment Bank,” katanya dalam kenyataan.
Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan melalui penerapan teknologi digital lebih meluas untuk transaksi harian dan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi.
“Bank digital boleh membantu individu dan perniagaan mendapatkan akses lebih baik kepada penyelesaian lebih khusus berteraskan analisis data. Apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi lebih selamat dan mudah.”
BNM berkata, semua 29 permohonan dinilai secara menyeluruh mengikut kedua-dua akta itu dengan mengambil kira integriti pemohon, kebolehlaksanaan pelan perniagaan dan teknologi serta sumber kewangan mencukupi.
“Permohonan dinilai mengikut merit pemohon serta perbandingan yang dibuat dengan permohonan lain berdasarkan penilaian konsisten bagi setiap kriteria penilaian.
“BNM akan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan fintech serta pihak berkepentingan berkaitan untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kewangan di seluruh negara dan merentas semua segmen masyarakat,” katanya.