Dengan bantuan PM, Rohana kini warganegara Malaysia

Dengan bantuan PM, Rohana kini warganegara Malaysia

Gadis itu antara 34 penerima taraf kerakyatan Malaysia hari ini.

Rohana Abdullah ditenangkan ibu angkatnya, Chee Hoi Lan selepas menerima surat kewarganegaraan Malaysia hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Air mata kegembiraan mengiringi Rohana Abdullah, yang ditinggalkan ibu warga Indonesia dan diasuh seorang wanita Malaysia berketurunan Cina, ketika beliau melangkah ke pentas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya untuk menerima surat kerakyatannya.

Sejurus menerima surat itu daripada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, gadis berusia 22 tahun itu kembali ke tempat duduknya lalu memeluk erat ibu angkatnya, Chee Hoi Lan, 83, sebelum meninggalkan majlis itu.

Meskipun usaha untuk menemu bual Rohana gagal, namun Hamzah berkongsi perbualan antara mereka ketika di pentas, dan menurutnya Rohana amat terharu dengan penganugerahan itu.

“Ketika di pentas, dia (Rohana) menangis kerana sudah lama tunggu keputusan status permohonan kewarganegaraannya.

“Dia ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan saya katakan kepada beliau yang sebenarnya kita berikan taraf kewarganegaraan kepada individu yang berkelayakan,” kata Hamzah mengenai reaksi Rohana selepas menerima surat keputusan kewarganegaraan itu, menurut laporan Bernama.

Rohana antara 34 penerima berusia lima hingga 24 tahun yang menerima taraf kewarganegaraan Malaysia dalam majlis di KDN itu.

Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada kerajaan dalam sesuatu hak keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berusia kurang daripada 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Permasalahan Rohana sebelum ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang menghubunginya untuk membantu gadis itu dalam urusan dokumentasi status kewarganegaraannya.

Media sebelum ini melaporkan Rohana ditinggalkan ibu warga Indonesianya, sebelum dijaga Chee, yang juga guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan, kira-kira 20 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.