
Ia juga mahukan masa permohonan dan kelulusan yang lebih cepat dan mengutamakan perkhidmatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, terutamanya perniagaan berasaskan mikro dan dalam talian yang kini kurang mendapat perkhidmatan.
Pengerusi Samenta William Ng, dalam satu kenyataan, berkata pemberian lesen perbankan digital ini merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk industri kewangan.
“Samenta mengucapkan tahniah kepada Bank Negara kerana mengambil langkah berani ini untuk terus meliberalisasikan akses kepada perbankan dan kewangan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Naib Presiden dan Penganalisis Moody’s Investors Service Tengfu Li, berkata lima bank digital baharu di Malaysia akan merangsang persaingan dan inovasi dalam sistem perbankan, memperluaskan rangkuman kewangan.
“Bagaimanpun, bank-bank utama sedang mengukuhkan keupayaan digital mereka sendiri dan berada pada kedudukan bersiap sedia untuk menghadapi persaingan ini,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan Grab Financial Group (Digibank) Reuben Lai, berkata konsortium bank digital Malaysia sangat menghargai diberi peluang untuk membangunkan bank digital generasi akan datang dan memacu akses kepada perkhidmatan kewangan untuk rakyat Malaysia yang tidak mendapat akses berkenaan.
Grab Holdings dan Singtel, hari ini, mengumumkan bahawa GXS Bank Pte Ltd, usaha sama bank digital mereka dan konsortium pelabur Malaysia termasuk Kuok Brothers Sdn Bhd telah dipilih untuk menerima lesen perbankan digital penuh di Malaysia.
“Kami akan memanfaatkan gabungan kekuatan konsortium itu termasuk kepakaran teknologi kami, data daripada pengguna yang terlibat menggunakan perkhidmatan harian, pengalaman menyediakan perkhidmatan kewangan di seluruh Asia Tenggara dan pemahaman mengenai pasaran Malaysia untuk mentakrifkan semula pengalaman perbankan bagi rakyat Malaysia yang tidak mendapat akses tersebut dan menambah baik hasil ekonomi – perniagaan kecil akan mempunyai akses kepada modal pertumbuhan dan individu berpeluang untuk mempunyai impian lebih besar,” kata Lai dalam satu kenyataan bersama oleh Grab dan Singtel.