Tiada konflik kepentingan dalam projek Taman Rimba Kiara, kata peguam

Tiada konflik kepentingan dalam projek Taman Rimba Kiara, kata peguam

Peguam Cecil Abraham berhujah, datuk bandar DBKL tiada dalam mana-mana mesyuarat bagi melulus atau mengeluarkan arahan bagi perintah pembangunan projek itu.

Mahkamah Rayuan membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan datuk bandar pada 2017 untuk Taman Rimba Kiara tahun lalu.
PUTRAJAYA:
Tiada konflik kepentingan membabitkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), apabila perintah pembangunan bagi cadangan projek Taman Rimba Kiara dikeluarkan.

Peguam Cecil Abraham yang mewakili YWP berhujah, datuk bandar DBKL tiada dalam mana-mana mesyuarat bagi melulus atau mengeluarkan arahan bagi perintah pembangunan projek itu.

Beliau berkata, datuk bandar DBKL juga tidak menandatangani perintah pembangunan itu, sebaliknya ia ditandatangani seorang pengarah dalam unit perancangan DBKL dan perintah itu dikeluarkan selepas melalui proses teliti serta telus.

Katanya, Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam penemuannya, apabila memutuskan terdapat konflik kepentingan kerana datuk bandar Kuala Lumpur adalah ahli lembaga pemegang amanah YWP ketika perintah pembangunan itu dikeluarkan DBKL kepada YWP dan syarikat pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan itu.

Abraham berkata, perjanjian usahasama (JVA) adalah kontrak bersyarat antara YWP, sebuah yayasan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan, dan Memang Perkasa untuk membangunkan kawasan terbabit serta JVA itu tiada kena-mengena dengan DBKL, yang bukan pihak dalam JVA itu.

Beliau berkata, YWP dan Memang Perkasa adalah pemilik sah serta benefisial tanah terbabit, di mana pembangunan yang dicadangkan akan dilaksana dan mereka berhak melupuskan tanah itu dalam apa jua cara, termasuk bagi pembangunan, selagi ia tidak melanggar undang-undang.

Abraham berkata demikian ketika berhujah di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan datuk bandar DBKL, Memang Perkasa, YWP dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.

Mereka ingin menghidupkan semula perintah pembangunan bertarikh 13 Julai 2017 yang dikeluarkan DBKL bagi pembangunan lapan blok pangsapuri servis mewah 29 tingkat merangkumi 350 unit rumah mampu milik untuk dibina di kawasan itu.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), yang menerusi badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouses, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium dan empat penduduk serta pemilik rumah TTDI, memfailkan semakan kehakiman pada 2017 bagi membatalkan kebenaran perancangan bersyarat dan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL.

Mereka kalah di peringkat Mahkamah Tinggi pada 28 Nov 2018.

Dalam semakan kehakiman itu, penduduk memohon perintah pembangunan itu dibatalkan atas alasan Taman Rimba Kiara berkeluasan 10.08 hektar dalam taman awam yang terletak di TTDI dan Bukit Kiara serta adalah kawasan hijau Kuala Lumpur.

Mahkamah menyambung pendengaran rayuan itu hari ini yang berlangsung secara maya dengan Abraham dan peguam B Jayanthi mewakili Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara mengemukakan hujah masing-masing.

Pada 22 April lalu, panel itu mendengar hujah B Thangaraj yang mewakili datuk bandar DBKL serta Gopal Sri Ram dan Khoo Guan Huat yang mewakili Memang Perkasa.

Pada prosiding hari ini, Abraham turut berhujah bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam penemuannya bahawa permohonan untuk kebenaran merancang bagi projek itu telah dibuat bersama-sama oleh Memang Perkasa dan YWP.

“Keterangan berdokumen di hadapan Mahkamah Tinggi dengan jelas membuktikan permohonan bagi kebenaran merancang itu dibuat secara bersendirian oleh Memang Perkasa,” katanya.

Pendengaran kes di hadapan Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung 25 Julai ini.

Penduduk TTDI diwakili peguam Gurdial Singh Nijar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.