
Tashny Sukumaran berkata, penemuan awal dalam Laporan Kesihatan dan Keselamatan Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) 2022 mendedahkan pemimpin komuniti migran menyuarakan kebimbangan berhubung penggunaan terma berkenaan.
“Ketika pandemik, sejumlah 64.2% kematian dikategorikan sebagai ‘mati mengejut’ tanpa perincian lanjut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tashny berkata, ada pemimpin kesatuan mendakwa majikan sering membayar kepada pihak berkuasa untuk mengkategorikan kematian berlaku sebagai “mati mengejut” yang berpunca daripada keletihan termasuk penyakit berkaitan pekerjaan bagi mengelak disiasat dan dipertanggungjawabkan.
“Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab lebih besar dalam merekodkan kematian dan kecederaan membabitkan pekerja migran, selain melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan mati mengejut untuk memastikan kebenarannya,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin komuniti migran turut mendakwa terdapat beberapa kes bunuh seperti kejadian bunuh diri.
“Walaupun tiada bukti berhubung dakwaan itu, dokumentasi fotografi atas dakwaan bunuh diri didakwa dijalankan menerusi kaedah tidak munasabah sehingga menyumbang kepada teori berkenaan,” katanya.
FMT sudah menghubungi polis bagi mendapatkan respons terhadap dakwaan yang dibuat.
Antara dapatan lain dalam laporan kesihatan dan keselamatan itu adalah kurangnya pendekatan melindungi pekerja migran daripada Covid-19, standard rendah keselamatan pekerjaan dan kesihatan dan peningkatan bahaya terhadap pekerja migran wanita.
Bagi menangani isu berbangkit, Tashny mencadangkan supaya kerajaan membangunkan program bayaran pampasan adil kepada keluarga pekerja migran yang meninggal dunia dan pelaksanaan sistem rentas sempadan bagi mengesahkan pembayaran pampasan kepada keluarga pekerja berkenaan di negara asal.
“Akta Pembunuhan Korporat perlu diwujudkan bagi menghadapkan syarikat termasuk individu korporat kepada hukuman kerana melakukan kesalahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, akta seumpama itu sudah dilaksanakan di negara seperti Australia dan United Kingdom dan jika sabit kesalahan, badan korporat akan diperintahkan membetulkan sebarang pelanggaran, mengumumkan kegagalan atau dijatuhi hukuman penjara.