Op Selamat tak fokus tahan individu banyak saman, kata polis

Op Selamat tak fokus tahan individu banyak saman, kata polis

Polis mempunyai banyak kaedah untuk menahan pesalah trafik, tetapi pada masa bersesuaian.

Polis menegaskan Op Selamat ke-18 bertujuan mengutamakan keselamatan pengguna dan kelancaran aliran trafik bagi memastikan rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat.
KOTA BHARU:
Polis menegaskan Op Selamat ke-18 sempena Aidilfitri bertujuan mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran aliran trafik, bukannya untuk menahan individu yang memiliki banyak saman atau waran tangkap.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mat Kasim Karim berkata, tindakan itu tidak akan diambil sepanjang tempoh Op Selamat kerana pihaknya mahu memastikan pengguna dapat pulang ke kampung halaman dengan selamat.

“Kami ingin menegaskan bahawa menahan dan menangkap bukanlah matlamat JSPT sepanjang Op Selamat kali ini.

“Polis sebenarnya ada banyak kaedah untuk menahan pesalah, tetapi pada masa sesuai,” katanya selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat kepada Muhamad Zaki Harun, yang memangku jawatan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.

Mat Kasim berkata, pihaknya turut menggunakan alat pengesan had laju “In-Car Radar” dan iCOPS sepanjang Op Selamat bagi mengesan pesalah trafik yang memiliki saman tertunggak serta waran tangkap.

“Kami ingin menasihatkan pengguna supaya berhati-hati di jalan raya agar selamat sampai ke destinasi dituju kerana dijangkakan esok kenderaan akan mula bertambah di jalan raya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.