
Katanya, Ismail juga telah bersetuju mengeluarkan peruntukan kecemasan bagi mengatasi masalah itu.
“Saya sedia maklum dengan situasi ini, iaitu kerosakan yang dialami adalah akibat banjir besar yang berlaku-baru ini.
“Sehubungan itu, saya telah bertemu dengan perdana menteri bagi memaklumkan masalah ini dan beliau bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan kecemasan.
“Sepasukan pegawai teknikal dari Unit Penyelaras Pelaksana serta Pejabat Daerah juga telah melawat kawasan terbabit dua hari lalu dan kini sudah mula menyediakan laporan yang diperlukan,” katanya kepada FMT, hari ini.
Kurup yang juga timbalan menteri kerja raya berkata, beliau juga akan bertemu dengan penduduk kampung bagi membincangkan penyediaan pengangkutan lebih selamat kepada pelajar terbabit.
Terdahulu, beberapa video menyaksikan pelajar di Kampung Nangkawangan di daerah itu menyeberangi sungai untuk ke sekolah dengan berakit dan menaiki ‘zip line’ tular di media sosial sejak malam tadi.
Dilaporkan penduduk setempat dan pelajar sekolah saban hari bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai selepas jambatan gantung di situ dihanyutkan banjir bulan lalu.