
Itu saranan pengusaha bengkel kereta terkenal di Lembah Klang, Mohd Fadzzel Mohd Sultan, sebagai penyelesaian isu OCH kereta Exora, yang menurut pengguna kerap kali pecah sehingga menjadi kebimbangan utama pemilik kenderaan MPV itu.
Keadaan itu memaksa mereka menempah OCH alternatif daripada mekanik tertentu seperti Fadzzel, meskipun Proton mengingatkan bahawa komponen sedemikian tidak diuji dalam makmal dan dikhuatiri menyebabkan lebih banyak kerosakan.
Tonton video di sini.
Bagaimanapun Fadzzel atau lebih dikenali sebagai Pak Tam, yang menawarkan khidmat pemasangan OCH buatan sendiri di lima bengkel miliknya, mempertikaikan peringatan itu dan mahu Proton mencari penyelesaian holistik untuk “mengubati” isu ketahanan komponen itu demi kebaikan pemilik Exora.
Fadzzel berkata, cadangan supaya Proton melantik mekanik yang membuat OCH alternatif sebagai ejen pemasangan dikemukakan oleh beberapa kelab pemilik Exora kepada pengurusan tertinggi Proton sebelum ini, namun tidak berhasil.

Beliau berkata, mekanik yang membuat OCH alternatif untuk Exora patut diberikan peranan oleh Proton.
“‘Custom OCH’ ini pilihan. Macam kita beli ‘body part’ kereta tapi pelanggan yang bayar. Pelanggan akan cakap, nak kereta baharu tapi nak OCH (alternatif). Jadi, Proton izinkan kami pasang, (pelanggan) bayar pada kami. (Dalam masa sama) waranti (dengan Proton) jalan macam biasa. Servis semua masih dengan Proton.
“Dengan cara ini, nama Proton akan naik sebab tak ada masalah OCH pecah. Kedua, Proton tak payah risau pelanggan akan lari, sebab mereka terikat dengan (servis) Proton,” katanya kepada FMT.
Pemilik Tam Turbo Motorsports itu berkata, Proton sebelum ini berminat membeli hak reka cipta OCH alternatif daripada beliau, namun tawaran itu terpaksa ditolak atas pelbagai faktor.

“Saya ini, jam tiga empat pagi pun pelanggan telefon sebab OCH pecah di tengah jalan. Jadi, bila kita tak ada hak reka cipta itu, bagaimana kita nak bantu mereka?
“Saya tak berminat nak kerjasama cara mereka, dengan spesifikasi dan harga pun kena ikut cara mereka. Itu agak berat untuk pelanggan kita. Sebab rata-rata pelanggan kita bukan orang senang,” katanya yang terkenal dalam kalangan pemilik Exora sebagai pakar OCH.
Fadzzel berkata, “nasihat” Proton agar pemilik Exora waspada terhadap OCH alternatif dalam pasaran tidak menggambarkan realiti di lapangan.
“Kalau mereka kata jangan beli daripada pihak luar sebab tak diuji…produk awak yang telah diuji pun ada kegagalan. Jadi awak letakkan tahap kualiti produk awak itu dekat mana?

“Kami di bengkel-bengkel luar setiap hari dengar keluhan pelanggan. Pelanggan yang tiada duit…enjin pecah kena (baiki) sampai RM7,000-RM8,000, anda (Proton) tak jawab. Kami ini yang kena jawab,” katanya.
Fadzzel memberitahu sehingga kini, lima cawangan bengkel keretanya sudah memasang lebih 1,000 buah OCH alternatif untuk pelanggan.

Ketua Pengurusan Kandungan Proton, Faisal Shah, sebelum ini memberitahu FMT, pembekal OCH alternatif diragui kemudahannya dalam menjalankan ujikaji produk buatan mereka.
Pemilik Exora, Azani Rusli, 48, memberitahu FMT, dia sanggup membelanjakan sehingga RM1,000 untuk menukar kepada “custom OCH” berbanding risiko menanggung kerugian besar, sekiranya OCH asal rosak pada masa akan datang.
“Saya tempah ‘custom OCH’ sejak Disember tahun lepas tapi giliran saya hanya Jun ini. Kenapa begitu ramai orang sanggup tunggu? Sudah tentu ia berbaloi dengan duit mereka,” katanya yang sedang menunggu giliran servis kereta.