
Bagaimanapun, mereka tidak berpuas hati dengan tindakan mahkamah Singapura yang tidak bertanyakan sebab rayuan hukuman dibuat sebaliknya hanya mempersoalkan siapa yang membantu keluarga membuat rayuan.
Kakak Nagaenthran, Sharmila, 36, berkata dia bagaikan hilang kata-kata selepas rayuan hukuman adiknya ditolak.
Tonton video di sini.
“Kami sudah merayu, tetapi timbalan pendakwa raya langsung tidak bertanya sebab keluarga merayu keputusan mahkamah.
“Kami tak puas hati dengan hukuman dikenakan terhadap Nagen (panggilan kepada Nagaenthran)…kami sangat sedih.. tetapi kami tak tahu nak luahkan bagaimana,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Indah, Tanjung Rambutan, di sini, semalam.
‘Kami hanya orang biasa’
Sharmila berkata, bagaimanapun keluarganya akur kerana mereka hanya ‘orang biasa’.
“Kami berasa marah, tetapi kami hanya orang biasa. Apabila kami memfailkan rayuan, mereka hanya bertanya kepada kami siapa yang membantu kami dan sama ada terdapat peguam dalam keluarga kami. Mereka tidak menyentuh mengenai kandungan rayuan dan afidavit,” katanya.
Dalam pada itu, Sharmila turut berterima kasih atas sokongan yang ditunjukkan rakyat Malaysia dan orang ramai termasuk masyarakat antarabangsa yang tidak putus-putus membantu dalam isu membabitkan adiknya.
“Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah membantu, menyokong, dan mendoakan Nagen. Malah, rakyat Singapura dan lain-lain telah membantu dalam aspek ini.
“Walaupun keputusan ini sukar (diterima) tetapi apa yang boleh kita lakukan? Akhirnya, kita perlu menerima bahawa dia (Nagaenthran) tidak lagi bersama kita,” katanya.
Sementara itu, Sharmila berkata, ibunya, Panchalai Supermaniam, 60, sedih dan terkilan kerana ketika hukuman dilaksanakan, dia masih dalam perjalanan menaiki bas ke Singapura.
“Dia terlalu kecewa dan sedih…kami cuba mengajaknya bercakap dan memujuknya makan kerana bimbang keadaan kesihatannya,” katanya.
Urusan pengebumian Nagaenthran dijangka berlangsung di pusat pembakaran Buntong pada Jumaat manakala upacara keagamaan dan doa oleh ahli keluarga terdekat dijadualkan berlangsung hari ini.
Nagaenthran yang berasal dari Perak dihukum mati oleh Singapura pagi semalam.
Dia ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 Apr 2009 kerana menyeludup 42.72g dadah jenis diamorphine dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.
Sebulan lepas, Mahkamah Rayuan Singapura mengekalkan hukuman tersebut dan kelmarin, mahkamah sama turut menolak cabaran undang-undang yang difailkan oleh ibu Nagaenthran dalam percubaan terakhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadap anaknya.
Selepas permohonan ibunya ditolak, mahkamah membenarkan Nagaenthran berpegangan tangan dengan ahli keluarganya yang hadir di kamar mahkamah.
Lelaki itu dikatakan mempunyai tahap IQ 69, yang dikategorikan sebagai kurang upaya dari segi intelek.
Dia pada awalnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 Nov 2021, namun ditangguhkan selepas mahkamah diberitahu dia dijangkiti Covid-19 sehari sebelumnya.
Kes Nagaenthran menarik perhatian komuniti antarabangsa dengan jutawan British Richard Branson dan pelakon Stephen Fry antara individu yang menggesa agar Singapura menyelamatkan nyawanya.