Serap semula bekas askar dipecat kerana tolak vaksin, kata peguam

Serap semula bekas askar dipecat kerana tolak vaksin, kata peguam

Tunggakan gaji dan pencennya selepas bersara turut patut dibayar, memandangkan kini syarat ke atas mereka yang tidak menerima vaksin telah dilonggarkan, kata peguam.

Wan Ramli Wan Seman dihadapkan ke mahkamah tentera dan didapati bersalah atas tuduhan ingkar arahan pada 10 Julai tahun lepas. Beliau kemudiannya dipecat.
PETALING JAYA:
Memandangkan kerajaan telah menarik balik “hukuman” terhadap mereka yang enggan menerima vaksin Covid-19 dengan membenarkan akses sama rata dan juga membayar balik bantuan khas yang dihentikan, sarjan tentera yang dipecat dan kehilangan pencennya mesti diserap semula, kata peguamnya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 mulai 1 Mei, termasuk memansuhkan semua sekatan terhadap mereka yang tidak menerima vaksin.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut membatalkan pekelilingnya yang menahan bantuan khas Covid-19 kepada penjawat awam yang tidak menerima vaksin.

Tonton video di sini.

Suzana Norlihan berkata, anak guamnya, Wan Ramli Wan Seman diberhentikan secara tidak terhormat tahun lepas kerana menolak vaksin dan kehilangan pencennya selepas 20 tahun berkhidmat tanpa sebarang kes tatatertib diambil terhadapnya.

“Beliau sepatutnya bersara dengan pencen penuh Januari depan selepas 22 tahun berkhidmat kepada negara. Kini beliau tiada apa-apa,” katanya kepada FMT.

“Beliau terpaksa mengusahakan sebuah gerai kecil untuk menyara isteri dan dua anaknya yang bersekolah. Ribuan penjawat awam yang menolak vaksin masih berkhidmat dan menikmati semua faedah.

“Dengan kelonggaran syarat ke atas mereka yang tidak menerima vaksin, iaitu semua orang mendapat layanan sama rata, angkatan tentera harus menyerap (Wan Ramli) semula, membayar tunggakan gaji dan juga pencen selepas beliau bersara. Jika tidak, kita lihat wujud dua set peraturan.”

Suzana berkata, beliau diberitahu terdapat kes membabitkan individu lain yang menolak vaksin terpaksa menamatkan perkhidmatan atau bersara awal.

“Semua kes ini kini mesti disemak dan diberi pampasan sewajarnya,” katanya.

Terdapat juga laporan bahawa segelintir pekerja sektor swasta diminta berhenti atau tidak disahkan dalam jawatan kerana enggan menerima vaksin.

Suzana berkata, Wan Ramli tidak menolak untuk berkhidmat di medan perang atau mengabaikan tugasnya mahupun berkelakuan buruk yang menjadi antara sebab anggota tentera diberhentikan secara tidak terhormat.

Wabak adalah sesuatu yang baharu dan perlu ditangani secara berbeza, tambahnya.

Beliau juga berkata, perjalanan rentas negeri turut dibenarkan bagi mereka yang tidak menerima vaksin apabila Malaysia mula memasuki fasa endemik pada 1 April.

Wan Ramli dihadapkan ke mahkamah tentera dan didapati bersalah atas tuduhan ingkar arahan pada 10 Julai tahun lepas. Beliau kemudiannya dipecat.

Beliau telah memfailkan saman terhadap kerajaan dan meminta deklarasi mahkamah bahawa pemberhentian awalnya adalah terbatal dan tidak sah. Beliau dijadualkan bersara pada 20 Jan tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.