
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan kebenaran Sanjeevan kerana terdapat persoalan undang-undang yang dibangkitkan.
Pemohon mesti mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Rayuan jika prosiding bermula di Mahkamah Majistret.
Pengerusi panel, hakim Kamaludin Md Said berkata, permohonan untuk merayu dibenarkan kerana terdapat persoalan undang-undang yang perlu dihujahkan semasa proses itu.
Panel hakim turut dianggotai Hadhariah Syed Ismail dan Nordin Hassan.
Peguam V Sithambaram, yang dibantu S Preakas dan Miguel Sequerah, memfailkan sembilan persoalan undang-undang, termasuk sama ada beban pembuktian yang tepat digunakan dalam mendapati Sanjeevan bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim mewakili pihak pendakwaan.
Preakas kemudiannya memberitahu pemberita bahawa notis rayuan akan difailkan dalam tempoh 14 hari.
“Mahkamah Rayuan akan membekalkan kami rekod rayuan sebagai persediaan,” katanya.
Pada 14 Ogos 2018, Mahkamah Majistret Temerloh menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 ke atas Sanjeevan selepas mendapatinya bersalah memeras ugut RM1,500 daripada ahli perniagaan Chan Leong Kwan.
Sanjeevan, yang juga seorang ahli perniagaan, melakukan kesalahan itu di Pusat Komersial Triang di Bera, Pahang pada 9.45 malam, 1 Julai 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Dia dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM6,000 dan denda.
Pada 27 Nov 2020, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Sanjeevan dan dia diperintahkan untuk menjalani hukuman setelah penangguhan tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, pada 4 Dis 2020, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman bagi Sanjeevan dengan syarat dia membayar ikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Dia juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis Semenyih di Kajang, Selangor, setiap minggu sehingga kes selesai dan mendapatkan kebenaran ketua polis Kajang sebelum meninggalkan daerah itu.