Ujian Covid-19 tak perlu bagi pengembara tertentu

Ujian Covid-19 tak perlu bagi pengembara tertentu

Pengembara berusia 13 tahun dan ke atas yang lengkap divaksin dan dijangkiti virus itu dalam enam hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia tidak perlu menjalani ujian Covid-19.

Insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysia bukan lagi pra-syarat untuk mereka memasuki negara ini.
PUTRAJAYA:
Putrajaya melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk pengembara yang tiba di Malaysia, termasuk mengecualikan keperluan menjalani ujian saringan bagi individu tertentu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ujian Covid-19 tidak lagi diperlukan untuk pengembara berusia 13 tahun dan ke atas yang lengkap divaksin serta dijangkiti virus itu antara enam hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia.

Beliau berkata, pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi juga tidak perlu menjalani ujian Covid-19 setibanya mereka di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengembara yang tidak lengkap atau belum menerima vaksin perlu mematuhi peraturan sedia ada.

Ia termasuk ujian pra-pelepasan dua hari sebelum berlepas ke Malaysia, ujian Covid-19 dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan, kuarantin wajib dan ujian RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag profesional pada hari kelima.

“Pengembara yang dikesan bergejala semasa berada di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara akan diarahkan menjalani ujian RTK-Ag.

“Semua pengembara masih perlu mengemukakan Traveller’s Card yang dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera semasa ketibaan di PMA,” katanya dalam sidang media maya hari ini.

Beliau berkata, insurans Covid-19 bagi pengembara bukan warganegara Malaysian bukan lagi pra-syarat untuk mereka memasuki negara ini.

Bagi jemaah umrah dan haji, Khairy berkata, mereka dikehendaki mendapatkan dos penggalak sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.