Tertuduh tukar pengakuan sebabkan wanita cedera parah

Tertuduh tukar pengakuan sebabkan wanita cedera parah

Tertuduh bagi kes bunuh di Bukit Putus dan Jalan Bukit Zamrud, Seremban Khalid Redza Shuib, 41, menukar pengakuannya atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Tertuduh bagi kes bunuh di Bukit Putus dan Jalan Bukit Zamrud, Seremban menukar pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita, Siti Syarifah Aibiddin, 35, di Mahkamah Majistret, Seremban, hari ini.

Khalid Redza Shuib, 41, menukar pengakuannya di hadapan majistret Mohd Firdaus Saleh, sebaik pertuduhan dibacakan ketika sebutan semula kes itu.

Pada prosiding pendakwaan 13 April lalu, tertuduh mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Siti Syarifah dalam kejadian di sebuah rumah dekat Taman Nee Yan, Seremban di antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 325, Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan sebelum ini, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baharu dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.

Siti Syarifah hadir ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi tadi dengan berkerusi roda sambil diiringi bapanya dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi kenyataan impak sebelum tertuduh dijatuhi hukuman.

Namun ia tidak dapat dilakukan kerana tertuduh yang tidak diwakili peguam, menukar pengakuannya.

Peguam yang mewakili keluarga Siti Syarifah, Hanif Hassan berkata, mangsa hadir ke mahkamah untuk mengemukakan kenyataan impak dengan kerelaannya sendiri.

“Nampak semangat mangsa yang tinggi (untuk hadir) dan kini dia dijaga oleh keluarga,” katanya ketika ditemui di luar kamar mahkamah, hari ini, lapor Berita Harian.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 17 Mei depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam serta tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Pada 13 April lalu, dilaporkan bahawa Khalid dan seorang anaknya yang berusia 18 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama namun tiada pengakuan direkodkan bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.