Seorang lagi tahanan Rohingya lolos meninggal dunia

Seorang lagi tahanan Rohingya lolos meninggal dunia

Kematian itu menjadikan keseluruhan tujuh tahanan Rohingya maut dirempuh kenderaan selepas lolos dari depot tahanan imigresen.

Polis masih memburu 61 lagi tahanan Rohingya yang lolos dari depot imigresen minggu lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang remaja tahanan Rohingya berusia 14 tahun yang cedera akibat dirempuh kereta di KM168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas melarikan diri dari depot Jabatan Imigresen di Bandar Baharu, Kedah meninggal dunia, semalam.

Kematian remaja itu menjadikan seramai tujuh tahanan Rohingya terbunuh dalam nahas di lokasi sama, pada 4.30 pagi, minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata seorang lagi mangsa kemalangan iaitu lelaki berusia 21 tahun masih menerima rawatan di hospital.

“Siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan. Sehingga kini kita sudah merakamkan kenyataan daripada beberapa saksi untuk membantu siasatan berhubung nahas itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Suhaily berkata, polis masih memburu 61 lagi tahanan Rohingya yang terlepas selepas tangkapan terbaharu berjaya dibuat, Isnin lalu.

Ketika ditanya sama ada mereka berjaya meloloskan diri keluar dari Pulau Pinang, Suhaily berkata, kemungkinan itu ada kerana kedudukan sempadan negeri yang berhampiran.

“Apa yang saya bimbangkan ialah kemungkinan tahanan Rohingya ini mendapat bantuan daripada penduduk tempatan.

“Sudah seminggu tahanan ini melarikan diri dan mungkin mereka mendapat bantuan dari segi makanan, sebab itu boleh bertahan daripada ditahan,” katanya.

Seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri dari depot imigresen selepas berjaya memecahkan pintu blok dan pagar penghadang di depot berkenaan.

Penduduk setempat kemudiannya berjaya menangkap 88 daripada mereka sebelum diserahkan semula pihak Imigresen.

Polis Pulau Pinang juga berjaya menahan semula 229 daripada mereka, di KM168 PLUS.

Enam daripada tahanan itu bagaimanapun maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika cuba menyeberangi laluan di lebuh raya terbabit.

Mereka yang maut ialah dua lelaki berusia 20 dan 36, dua wanita berusia 18 dan 14, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.