Peniaga mampu raih RM5,000 sehari, bazar Aidilfitri Lorong TAR dapat sambutan

Peniaga mampu raih RM5,000 sehari, bazar Aidilfitri Lorong TAR dapat sambutan

Bermula 9 Apr hingga hari ini, Bazar Aidilfitri Lorong TAR merekodkan 290,311 pengunjung.

Rata-rata peniaga puas hati dengan sambutan pengunjung ke bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias. (Gambar Facebook Jalaluddin Alias)
PETALING JAYA:
Destinasi wajib warga kota membeli belah menjelang lebaran, Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), menerima lebih 20,000 pengunjung setiap hari, sejak 9 Apr, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias.

Jumlah itu direkodkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil pemantauan yang dilakukan penguat kuasa sepanjang waktu operasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan sehingga 2 pagi pada hari minggu.

Jalaluddin berkata, secara keseluruhan DBKL mencatatkan bilangan kehadiran 290,311 pengunjung dengan kehadiran tertinggi melebihi 23,000, pada Sabtu lalu.

Katanya, meskipun jumlah pengunjung ramai tapi mereka masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mengimbas kod QR MySejahtera di laluan masuk dan memakai pelitup muka.

“Penguatkuasaan tetap dilakukan bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi peraturan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“Selain itu, rata-rata peniaga yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan hasil jualan dan pendapatan yang diraih sehingga ada antaranya mampu meraih jualan RM5,000 sehari. Ini adalah keadaan yang baik walaupun berdepan pandemik dan kekangan ekonomi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ditanya rungutan orang ramai mengenai kesesakan teruk yang terpaksa dilalui pengunjung disebabkan sikap segelintir pengunjung Bazar Aidilfitri meletakkan kenderaan menghalang lalu lintas, beliau berkata, penguat kuasa DBKL sentiasa memantau lalu lintas.

Jalaluddin berkata, anggota akan memberi nasihat terlebih dahulu kepada pengunjung yang meletakkan kenderaan menghalang lalu lintas, namun sekiranya masih berdegil tindakan menunda kenderaan atau kompaun akan dikeluarkan.

“Sememangnya kawasan Kuala Lumpur terutama pada minggu akhir ini, kesesakan luar biasa berlaku dan segelintir pengunjung meletak kenderaan sebolehnya-bolehnya dekat dengan kawasan bazar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.