Pegawai polis ‘live’ di media sosial ketika operasi dipindah ke jabatan lain

Pegawai polis ‘live’ di media sosial ketika operasi dipindah ke jabatan lain

Timbalan KPN Razarudin Husain memaklumkan pegawai JSJN Bukit Aman itu akan berpindah ke IPK Johor.

Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pegawai polis terbabit dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai polis wanita daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang menyiarkan video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan kini dipindahkan ke jabatan lain.

Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) Razarudin Husain pagi ini mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan pegawai itu akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Isnin lepas, Pengarah JSJN Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan tindakan pegawai polis berkenaan bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita memakai jaket seragam operasi polis berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

Polis sebelum ini mengeluarkan tiga arahan mengenai tatacara penggunaan media sosial, iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021, termasuk larangan terhadap tindakan sedemikian.

Berikutan itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.