Muda gesa buka semula siasatan kes Scorpene

Muda gesa buka semula siasatan kes Scorpene

Ia selepas AFP melaporkan seorang hakim di Perancis mendakwa bahawa Thales, syarikat berpangkalan di negara itu terlibat dalam rasuah penjualan kapal selam Scorpene dan Agusta ke Malaysia.

Naib Presiden Muda Zaidel Baharuddin berkata, pembelian kapal selam itu berlaku ketika Najib Razak merupakan menteri pertahanan dan dari awal didapati menimbulkan pelbagai syak wasangka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Muda menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia pada 2002.

Naib Presiden Muda, Zaidel Baharuddin membuat gesaan itu selepas AFP melaporkan seorang hakim di Perancis mendakwa bahawa Thales, iaitu syarikat pertahanan multinasional berpangkalan di negara itu terlibat dalam rasuah penjualan kapal selam Scorpene dan Agusta kepada Malaysia.

“DCN, syarikat yang menjual kapal selam kepada Malaysia pada 2002 kini merupakan sebahagian daripada Thales.

Tonton video di sini.

“Wajar pihak berkuasa Malaysia membuka semula siasatan ke atas pembelian ini memandangkan jelas berlaku salah laku melibatkan pihak di Malaysia. Mana mungkin rasuah boleh berlaku jika tiada penerima yang boleh mempengaruhi keputusan pembelian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Zaidel berkata, ia berlaku ketika Najib Razak memegang jawatan menteri pertahanan dan dari awal didapati pembelian berkenaan menimbulkan pelbagai syak wasangka.

“Antaranya ialah apabila (Abdul) Razak Baginda, yang dikatakan rapat dengan Najib ketika itu secara terbuka mengaku menerima bayaran sebanyak EU30 juta (RM137 juta) sebagai ‘konsultan’ kepada projek berkenaan,” katanya.

Katanya, siasatan ke atas kes itu penting kerana ia melibatkan aset strategik keselamatan negara.

“Malang sekiranya kedaulatan dan keselamatan kita diancam bukan oleh pihak luar, tetapi oleh pemimpin dan orang dalam yang rakus lagi haloba,” katanya.

Pada November 2018 media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan kes pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia yang bernilai RM4.67 bilion.

Najib adalah antara individu dipanggil memberi keterangan kes itu selain beberapa individu lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.