
Beliau dalam sidang media hari ini berkata, kenyataan media Covid-19 harian yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dibatalkan serta-merta.
Terdahulu, Khairy berkata sistem perkhidmatan kesihatan berada pada tahap semakin pulih dengan kadar kemasukan kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi semakin berkurangan.
Katanya, kejayaan ini disumbang oleh kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan oleh kerajaan.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan syabas kepada seluruh Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan.
Sementara itu, Khairy menggesa rakyat Malaysia supaya berhati-hati semasa musim perayaan Hari Raya akan datang, sambil menambah bahawa kelonggaran SOP bukanlah petanda bahawa usaha memerangi Covid-19 telah berakhir.
“Lakukan ujian diri sebelum pulang ke kampung halaman untuk memastikan ahli keluarga berisiko tinggi terhindar daripada simptom Covid-19 yang teruk,” katanya.
Khairy juga menyuarakan kebimbangan mengenai kadar vaksinasi “masih rendah” dalam kalangan kanak-kanak, dengan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) dijangka berakhir pada 15 Mei.
“Berikan vaksin kepada anak-anak anda dan pastikan individu warga emas dalam keluarga dan komuniti anda mendapat dos penggalak mereka. Mari melindungi satu sama lain dan menikmati musim perayaan dengan selamat dan sihat.
“Kementerian kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara sambil meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan penjagaan kesihatan kami.”