Industri pelancongan sambut baik kelonggaran syarat masuk pengembara

Industri pelancongan sambut baik kelonggaran syarat masuk pengembara

Pemain industri berpandangan syarat pengesanan ujian Covid-19 sebelum ini menjadikan negara ini kurang menarik dikunjungi sebagai destinasi percutian.

SOP membebankan mampu menjadi faktor penghalang pelancong masuk ke Malaysia walaupun selepas pembukaan semula sempadan, kata pemain industri pelancongan.
GEORGE TOWN:
Pemain industri pelancongan mengalu-alukan kelonggaran SOP terhadap pengembara luar negara memasuki negara ini bermula bulan depan, selain menyifatkan langkah itu mampu menggiatkan semula industri.

Hari ini, kerajaan mengumumkan pengembara sudah divaksin dibenarkan masuk ke negara ini tanpa perlu melalui ujian pengesanan Covid-19, bermula 1 Mei. Keperluan mengambil insurans juga tidak diperlukan terhadap golongan pengembara berkenaan.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang, berkata tindakan kerajaan selaras dengan amalan baik antarabangsa memandangkan kesan buruk Covid-19 semakin berkurangan.

Katanya, walaupun pembukaan sempadan dibuka, SOP seperti memerlukan pengembara termasuk pada pra pelepasan dan selepas mendarat dikehendaki melakukan ujian pengesanan dan pendekatan lain menyebabkan ramai pelancong luar tidak memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

“Satu daripada punca kita tidak melihat kemasukan ramai pelancong susulan SOP membebankan. Mereka bimbang sekiranya didapati positif Covid-19, mereka terpaksa menanggung kos lebih tinggi.

“Tindakan terbaharu ini akan menarik lagi kemasukan pelancong asing, bersesuaian dengan amalan di Eropah, India, Singapura dan Australia,” katanya kepada FMT.

Tan berkata, keperluan bagi pelancong asing mengisi kad perjalanan ketika ketibaan melalui MySejahtera menjadi prosedur boleh diterima, mengambil kira kebanyakan negara tidak lagi menggunakan kertas.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Eugene Dass, berkata kelonggaran SOP akan menghidupkan semula industri pelancongan dan hospitaliti.

Beliau berkata, susulan kes Covid-19 yang menunjukkan trend penurunan, negara ini kelihatan berada di landasan tepat bagi membawa kembali pelancong untuk memacu ekonomi tempatan.

“Kami, bagaimanapun, kekal berwaspada susulan tetamu hotel masih diperlukan memakai pelitup muka bagi keselamatan mereka,” katanya yang juga pengerusi persatuan itu bagi Kedah dan Perlis, kepada FMT.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Emmy Suraya Hussein, berkata walaupun negara membuka semula sempadan pada 1 April, tidak ramai pelancong luar masuk ke negara ini.

Katanya, senarai panjang SOP, termasuk keperluan menjalani ujian pengesanan sebelum berlepas dan selepas ketibaan, menjadi sebab kritikal pelancong meminggirkan Malaysia, sebaliknya berkunjung ke negara jiran yang terlebih dulu melonggarkan syarat kemasukan.

“Dengan kelonggaran berkenaan, kami berharap jumlah pelancong kembali meningkat,” katanya.

Selain itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Uzaidi Udanis, berkata sokongan berterusan kerajaan terutama membabitkan subsidi minyak, industri pelancongan mampu kekal kompetitif bagi tempoh jangka panjang.

Beliau berkata, walaupun negara lain membuka sempadan mereka, termasuk melonggarkan syarat kemasukan, negara berkenaan juga menerima tempias kesan inflasi.

“Status quo kerajaan berhubung bantuan dan subsidi sepatutnya berterusan, jadi kita kekal berdaya saing dalam pasaran pelancongan global,” katanya.

Uzaidi berkata, gangguan terhadap aplikasi MySejahtera mesti diselesaikan susulan ada pengembara berdepan masalah memuat turun aplikasi itu di negara asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.