Hamzah dikecam kerana minta Rohingya kembali ke negara asal

Hamzah dikecam kerana minta Rohingya kembali ke negara asal

Kumpulan hak asasi migran, Tenaganita berkata kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang menteri.

Baru-baru ini Hamzah Zainudin dipetik sebagai berkata, pihak berkuasa menempatkan pelarian di depot imigresen dalam tempoh lama sebagai isyarat kepada mana-mana migran yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi migran, Tenaganita membidas Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang memberitahu pelarian Rohingya supaya kembali ke negara asal sekiranya tidak berpuas hati dengan layanan terhadap mereka di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das memberitahu FMT, adalah membingungkan apabila seorang menteri yang berkaliber dan mempunyai kedudukan membuat kenyataan sedemikian.

“Beliau mempromosikan pendekatan berpaksikan mangsa dalam Pelan Tindakan Kebangsaan Anti-Pemerdagangan Orang (Naptip),” kata Das.

Tonton video di sini.

“Namun dia membidas mereka dengan mengeluarkan kenyataan terhadap komuniti yang sudah dianiaya di Myanmar.

“Kenyataan yang tidak wajar dan berbaur perkauman ini dan bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia, tidak sesuai bagi seorang menteri kerajaan.”

Glorene Das.

Beliau juga berkata, kenyataan menteri itu memalukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk penggal 2022-2024.

Naptip yang dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri tahun lalu adalah sebuah dokumen yang menggariskan perancangan dan usaha bagi membanteras pemerdagangan orang di Malaysia dari 2021 hingga 2025.

Baru-baru ini, Hamzah dipetik sebagai berkata, pihak berkuasa menempatkan pelarian di depoh imigresen dalam tempoh yang lama sebagai isyarat kepada mana-mana migran yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Charles Santiago.

Beliau menolak kritikan terhadap Jabatan Imigresen berhubung kejadian 528 pelarian meloloskan diri dari depoh imigresen di Sungai Bakap, Kedah.

Selain itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago bersetuju bahawa kenyataan Hamzah hanya akan menyemarakkan sentimen anti-Rohingya dalam kalangan rakyat Malaysia, namun katanya, komen menteri itu “tidak mengejutkan”.

Katanya, Hamzah tidak peduli walaupun mengenai isu hak yang dihadapi oleh rakyat Malaysia seperti isu kewarganegara melibatkan ribuan kanak-kanak kelahiran Malaysia serta kes kematian dalam tahanan yang dihadapi polis.

“Rohingya datang ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan di negara ini kerana berlakunya genosid yang menyasarkan mereka di negeri Rakhine oleh tentera Myanmar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.