
Menurut sumber, pegawai berusia 30-an itu disyaki meminta “habuan” sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja-kerja berkaitan sanitasi pusat mengundi.
“Suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja-kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari yang berakhir hari ini.
Bagaimanapun majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan lepas reman terhadap suspek dengan menetapkan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin pada hari ini.