
Minggu lalu, pengulas politik Lim Teck Ghee dan Murray Hunter mencadangkan penubuhan “kuasa ketiga” yang terdiri daripada Warisan, Muda, Parti Sosialis Malaysia dan Gerak Independent untuk memenangi pengundi muda dan golongan tidak berpuas hati.
Dalam surat kepada FMT, mereka berkata, adalah masuk akal untuk parti pembangkang terbabit bergabung tenaga untuk PRU15 daripada bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) memandangkan prestasi buruk PKR dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
Tonton video di sini.
Bagaimanapun, James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, kuasa ketiga ini tidak mempunyai masa yang cukup untuk “menyiapkan dan menjual idea” mereka sekiranya pilihan raya diadakan tahun ini.
Ini terutamanya kerana kuasa ketiga itu berkemungkinan akan bersaing untuk kerusi yang kini dipegang oleh PH.
“Idea mereka untuk menggunakan pendekatan bukan perkauman tidak diterima di kawasan Melayu luar bandar. Oleh itu, mereka hampir pasti hanya menyasarkan kawasan bandar namun malangnya kebanyakan kerusi ini dipegang oleh PH.”
Manakala pakar sains politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, PH akan mengalami kerugian paling banyak daripada kemunculan kuasa ketiga.
Menurutnya, kedua-dua kumpulan menyasarkan kumpulan pengundi sama, iaitu masyarakat serta kelas pertengahan Cina dan Melayu.
Beliau berkata, Warisan dari Sabah mungkin mendapat sedikit sokongan daripada pengundi luar bandar di Sabah tetapi tidak mempunyai kedudukan yang sama di Semenanjung Malaysia.
Katanya, kuasa ketiga itu tidak mempunyai masa yang cukup.
“Saya tidak rasa mereka boleh melakukan banyak usaha jika pilihan raya diadakan tahun ini, secara fizikal dan mentalnya mereka tidak bersedia.”