Kerajaan mungkin perkenalkan subsidi minyak bersasar, kata Tok Pa

Kerajaan mungkin perkenalkan subsidi minyak bersasar, kata Tok Pa

Mustapa Mohamed berkata mereka berkemampuan sepatutnya membayar lebih kerana subsidi disasarkan kepada B40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, berkata menegaskan bahawa subsidi bahan api turut berperanan penting dalam mengawal kenaikan harga di negara ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan berkemungkinan besar memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar bagi menampung impak kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, berkata kerajaan masih dalam peringkat merangka struktur bersesuaian yang dijangka dapat disiapkan tidak lama lagi.

Katanya, Kementerian Kewangan juga dalam peringkat meneliti sama ada kerajaan mampu menanggung subsidi, manakala harga bagi petrol RON95 dan diesel dapat dikekalkan pada masa ini.

“Mereka berkemampuan sepatutnya membayar lebih, manakala yang tidak layak menerima (subsidi) tidak sepatutnya mendapat langsung subsidi itu. Subsidi hanya untuk golongan miskin terutama golongan B40.

“Isunya di sini adalah masa dan bila mekanisme itu akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.

Mengulas lanjut, Mustapa menegaskan bahawa subsidi bahan api turut berperanan penting dalam mengawal kenaikan harga di Malaysia.

Malah, katanya, kerajaan telah berupaya mengekalkan kenaikan harga antara 2% hingga 3% sejak 10 tahun hingga 20 tahun lalu.

“Bagaimanapun, ini akan memberi kekangan besar terhadap bajet. Apabila kita merangka Bajet 2022 pada tahun lalu, anggaran bagi subsidi adalah RM5 bilion dan kini ianya sekitar RM30 bilion yang merupakan kenaikan jumlah subsidi sebanyak enam kali ganda,” katanya.

Beliau berkata, subsidi minyak itu merangkumi empat elemen iaitu RON95, diesel, gas asli cecair dan minyak masak.

Mustapa menjelaskan, kenaikan harga minyak mentah itu turut menjejaskan kadar inflasi negara yang menyaksikan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Mac 2022 meningkat sebanyak 2.2% kepada 125.6 berbanding 122.9 pada Mac 2021, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022, pada 1.9%.

“Kita percaya ini satu cabaran dalam usaha untuk melangkah ke hadapan. Impak itu terutamanya terhadap harga. Kita belum lagi menyemak semula unjuran pertumbuhan negara dan masih berpegang kepada unjuran Bank Negara Malaysia iaitu pertumbuhan pada 5.3% hingga 6.3% bagi tahun ini.

“Pada masa sama, kita juga perlu lebih realistik kerana ini merupakan satu tempoh yang amat mencabar dan terdapat keperluan untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan tersebut dan kerajaan akan bertindak sewajarnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.