
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, hasil tinjauan di lokasi semalam menyaksikan pelbagai kerosakan harta benda yang teruk apabila banyak rumah dimasuki air sedalam dua kaki menjejaskan persiapan menyambut Aidilfitri.
“Ramai penduduk terpaksa membuang tilam dan perabot rumah. Terdapat juga pelajar yang mengalami kerosakan buku dan beg sekolah. Kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.
“Memandangkan Hari Raya semakin dekat dan persiapan menyambut perayaan ini terjejas dengan teruk, saya menggesa Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) dan Menteri Wilayah Persekutuan (Shahidan Kassim) untuk segera meluluskan bantuan sumbangan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 kepada mereka yang terkesan,” katanya.
Beberapa jalan utama di sekitar ibu negara ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira satu jam yang bermula pada 3 petang.
Hannah berkata, antara lokasi terkesan akibat banjir kilat semalam adalah Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam, Kampung Masjid Segambut, Kampung Segambut Bahagia, Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Kolam Air dan Kampung Kasipillay.
“Keperluan mencari jalan penyelesaian kepada masalah banjir di Kuala Lumpur semakin kritikal. Setiap kali ia berlaku, kerosakan harta benda dianggarkan berjuta-juta.
“Alasan taburan hujan yang tinggi sudah tidak boleh diguna pakai jika modus operandi Kerajaan masih tidak berubah. Ini sudah tahap bencana setiap kali ia hujan di Kuala Lumpur,” katanya.