Banjir di KL, mesti ada pihak bertanggungjawab, kata Ahli Parlimen

Banjir di KL, mesti ada pihak bertanggungjawab, kata Ahli Parlimen

Lim Lip Eng menggesa agar Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab keluhan orang ramai.

Ramai pengguna kenderaan terperangkap di ibu negara semalam apabila beberapa kawasan dinaiki air selepas hujan lebat. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sehari selepas Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menuntut pihak-pihak berkenaan supaya bertanggungjawab atas banjir yang kerap berlaku di bandar raya itu.

Lim menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab keluhan orang ramai berhubung kegagalan kerajaan dalam mitigasi banjir.

“Cukup-cukuplah. Banjir Disember lepas cukup teruk, tetapi banjir semalam lebih buruk. Ini berlaku kurang empat bulan selepas kali terakhir (banjir melanda), menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur,” kata ahli Parlimen DAP itu dalam kenyataan.

Tonton video di sini.

Katanya, setiap kali hujan turun, malah tidak sampai setengah jam, penduduk Kuala Lumpur tidak terlepas daripada banjir besar yang mengakibatkan mereka terpaksa membaiki kenderaan dan membersihkan rumah.

“Dalam setiap kejadian banjir, kerugian harta benda mencecah jutaan ringgit.”

Lim turut kesal bahawa tiada penjelasan diberikan pihak berkuasa mengenai punca banjir kerap berlaku di Kuala Lumpur, walaupun berbilion ringgit dibelanjakan untuk kerja-kerja mitigasi banjir, projek mendalamkan sungai dan terowong SMART.

Beliau menyeru agar pembangunan kondominium, pusat beli-belah, menara pejabat dan pencakar langit yang berterusan dihentikan kerana projek-projek ini mungkin memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan metropolitan.

Kuala Lumpur memerlukan pembangunan mampan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.