Suhakam gesa beri kad UNHCR kepada pelarian Rohingya

Suhakam gesa beri kad UNHCR kepada pelarian Rohingya

Program penempatan semula UNHCR dicadangkan untuk mengutamakan pelarian Rohingya dalam aspirasi ke arah penyelesaian jangka panjang, dalam bentuk penempatan semula ke negara ketiga kata Suhakam.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Noor Aziah Mohd Awal berkata, kerajaan diminta tidak menghukum pelarian Rohingya yang ditangkap semula atau menimbulkan ketakutan atau kebencian dalam kalangan penduduk tempatan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan mengeluarkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada semua pelarian Rohingya, khususnya mereka yang terlibat dalam rusuhan di kem tahanan sementara Sungai Bakap baru-baru ini.

Pesuruhjayanya, Noor Aziah Mohd Awal berkata, program penempatan semula UNHCR dicadangkan untuk mengutamakan pelarian Rohingya dalam aspirasi ke arah penyelesaian jangka panjang dalam bentuk penempatan semula ke negara ketiga.

“Kerajaan juga perlu menubuhkan badan bebas terdiri wakil selain Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyiasat kejadian terbabit dan tidak menghukum pelarian Rohingya yang ditangkap semula atau menimbulkan ketakutan atau kebencian dalam kalangan penduduk tempatan di Relau, terhadap pelarian Rohingya yang masih bebas.

“Akhir sekali, kerajaan perlu membabitkan kanak-kanak Rohingya dalam projek rintis alternatif kepada penahanan kerana mereka mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran lebih selamat dan kondusif, selain menambah lebih ramai kakitangan di depot imigresen yang kekurangan kakitangan,” katanya dalam kenyataan.

Noor Aziah Mohd Awal.

Aziah berkata, hasil lawatan pemantauan ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di Negeri Sembilan mendapati keadaan sesak tahanan, manakala tiga premis sama kekurangan kakitangan.

Katanya, selain Lenggeng, dua lagi depot tahanan yang dikesan mengalami kekurangan kakitangan ialah Langkawi dan Belantik masing-masing di Kedah.

Aziah turut dukacita dengan kejadian enam pelarian Myanmar termasuk dua kanak-kanak maut ketika cuba menyeberangi lebuh raya, semasa ratusan pelarian melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau Bandar Baharu pada 20 April lalu.

Katanya, kebanyakan tahanan migran dihantar pulang ke negara asal melalui campur tangan wakil kedutaan negara masing-masing.

“Namun pelarian Rohingya di Malaysia tidak boleh dihantar pulang ke Myanmar kerana peruntukan di bawah undang-undang adat antarabangsa, prinsip non-refoulement (melarang penolakan) memberi jaminan bahawa tiada sesiapa harus dihantar pulang ke negara asal di mana mereka akan mengalami penindasan.

“Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, tetapi Malaysia adalah sebuah negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC).

“Perkara 22 CRC menyatakan bahawa negara pihak harus memastikan kanak-kanak yang mencari status pelarian, atau kanak-kanak yang sudah disahkan sebagai pelarian hendaklah diberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak pencari suaka atau yang diberikan status pelarian berhak mendapat hak mereka di bawah empat prinsip utama CRC, iaitu tidak boleh didiskriminasi, perlu dilayan dengan kemanusiaan dan rasa hormat, suara harus didengari dan kepentingan terbaik harus diberi keutamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.