Sudah 5 tahun industri minyak ‘berkorban’, MTEM gesa Petronas berlaku adil

Sudah 5 tahun industri minyak ‘berkorban’, MTEM gesa Petronas berlaku adil

Usahawan minyak dan gas bukan merayu bantuan 'kebajikan' tetapi dasar dan terma perniagaan yang adil, saksama, dan munasabah dari segi asas dan ekonomi, kata Tengku Ngah Putra.

Tengku Ngah Putra berkata, industri perkhidmatan dan kelengkapan minyak dan gas terpaksa mengikut dasar dan terma Petronas yang mengakibatkan kegagalan yang dilihat hari ini. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengingatkan Petronas bahawa ia bertanggungjawab membantu industri perkhidmatan dan kelengkapan minyak dan gas (oil and gas service dan equipments) atau OGSE yang sudah banyak berkorban susulan kemelesetan ekonomi sejak lima tahun lalu.

Ketua kluster minyak dan gas majlis itu, Tengku Ngah Putra berkata, usahawan minyak dan gas bukan merayu bantuan “kebajikan” tetapi dasar dan terma perniagaan yang adil, saksama, dan munasabah dari segi asas dan ekonomi dalam urusan dengan Petronas.

“Gambaran yang dilakar seolah-olah mereka kelihatan tidak mampu menjalankan perniagaan sebagai profesional. Sebaliknya, usahawan persendirian ini sebenarnya pakar dalam perniagaan mereka dengan membina dari awal tanpa subsidi atau geran kerajaan, bukan seperti Petronas.

“Mereka terpaksa mengikut dasar dan terma Petronas yang mengakibatkan kegagalan yang kita lihat hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Ngah mengulas temu bual Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik dengan The Edge baru-baru ini yang menyentuh rungutan Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia dan Persatuan Pemilik OSV Malaysia.

Beliau menyifatkan Tengku Taufik seolah-olah “meninggi diri” dengan usahawan dan kakitangan yang terpaksa berdepan pemberhentian pekerja dan pengurangan gaji selama bertahun-tahun.

Dalam persekitaran ekonomi yang teruk katanya, “institusi kewangan pun tidak mahu mendanai industri ini”.

“Petronas tidak patut menuding jari dan harus juga dipertanggungjawabkan ke atas apa yang berlaku dalam lingkungan OGSE ini,” katanya.

Mengulas temunbual sama, bekas perdana menteri Najib Razak berkata, Petronas pernah meminta industri sokongan menurunkan harga dengan signifikan sejak 2015 hingga 2019 ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Menurut beliau, kos pengeluaran Petronas ketika itu adalah antara USD40 hingga USD60 setong manakala harga minyak dunia bawah USD40 untuk beberapa tahun.

“Erti kata lain ialah vendor-vendor minyak dan gas tempatan pernah membantu Petronas yang ketika itu dalam tekanan besar,” katanya di Facebook.

“Akibatnya keseluruhan industri perkhidmatan minyak dan gas dalam keadaan kritikal ketika ini sebab setelah pengurangan kos tersebut berakhir pada 2019, sektor itu ditekan lagi dengan ‘lockdown’ Covid-19 yang menghalang industri untuk beroperasi dengan baik selama dua tahun.”

Ketika ini katanya, Petronas sedang mengaut keuntungan amat besar setelah harga minyak dan gas dunia mencecah paras tertinggi.

“Tetapi vendor-vendor sudah kritikal pula,” katanya dengan mengingatkan bahawa saiz keseluruhan sektor minyak dan gas ialah 20% daripada keseluruhan ekonomi Malaysia dan melibatkan 4,000 buah syarikat vendor tempatan dengan 60,000 pekerja.

Dalam pada itu, MTEM mengingatkan Petronas sebagai penguasa yang membangunkan dasar, prosedur dan terma-terma yang mengawal industri minyak dan gas.

“Atas sebab itu, kegagalan industri ini disebabkan oleh dasar-dasar yang menghasilkan keputusan yang tidak diingini,” katanya.

“Apabila CEO kumpulan Petronas sebut tentang ekosistem 4,000 vendor, beliau patut tanya diri sendiri siapa yang mencipta, memberi lesen, dan mengawal selia ekosistem itu? Jangan salahkan orang lain atas kegagalan Petronas menyediakan suatu rangka kerja praktikal bagi sebuah sistem mudah urus,”.

Beliau juga mendakwa sudah sekian lama syarikat dan usahawan mengelak untuk berterus-terang secara terbuka kerana khuatir disenarai hitam atau didiskriminasikan.

“Petronas perlu bertindak segera untuk melakukan pembetulan sebelum industri minyak dan gas gagal sepenuhnya. Sekaranglah masanya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.