
“Undang-undang ini buatan manusia, bukan Tuhan, dan mahkamah tidak sepatutnya menganggap seolah-olah orang yang mengkritik sistem itu menghina agama,” kata Zaid kepada FMT.
Beliau berkata, jika orang ramai tidak boleh mengkritik sistem mahkamah, ia tidak akan bertambah baik.
“Ia tidak baik bagi Islam itu sendiri dan pihak berwajib harus mengkaji semula hukuman itu”.
Zaid berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu menjadi contoh tidak baik kerana kini tiada siapa yang akan bercakap mengenai kelemahan dalam sistem itu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari ke atas Maria kerana menghina mahkamah berhubung kenyataannya pada September 2019, iaitu “wanita Islam masih didiskriminasi (terhadap) bawah sistem perundangan syariah Malaysia.”
Beliau berkata, keputusan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isteri ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi kerana menjadualkan semula tarikh lawatan untuk anak-anaknya adalah “ketidakadilan yang besar” dan “menghina sepenuhnya sistem kehakiman”.
Hakim Fouzi Mokhtar membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengarahkan peguam Maria memfailkan rayuan mereka dalam tempoh 14 hari.
Peguamnya, Rosli Dahlan, memberitahu mahkamah dia akan merayu keputusan itu.
Sementara itu, pengasas Komuniti Muslim Universal (KMU), Aizat Shamsuddin berkata, keputusan berkenaan tidak adil kerana Maria hanya bertindak balas terhadap ketidakadilan yang dihadapi wanita akibat undang-undang dan tafsiran agama yang mendiskriminasi mereka.
“Ini lebih kepada menutup pembelaan hak asasi manusia dan perbezaan pendapat politik melalui sistem perundangan syariah.
“Sistem perundangan syariah sebaliknya harus bertindak balas dengan menambah baik undang-undang dan kapasiti kakitangan untuk menggalakkan kesaksamaan jantina dan akauntabiliti seperti di negara majoriti Islam lain yang sedang berkembang,” katanya.
Bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin berkata, walaupun beliau menghormati keputusan mahkamah, ia merosakkan reputasinya.
“Ini tidak akan menaikkan imej mahkamah syariah. Ia hanya akan mengurangkan lagi reputasinya.
“Saya berpandangan bahawa mahkamah harus bertolak ansur dengan kebebasan bersuara,” kata Hanipa kepada FMT.
Marina Mahathir, seorang aktivis sosio-politik yang juga anak perempuan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, mempersoalkan bagaimana sistem kehakiman Islam boleh “dihina”.
“Adakah sistem mempunyai perasaan?” katanya di Twitter. “Ini menjijikkan.”